KELAS yang berpindah ke dalam talian selepas pandemik Covid-19 memaksa sekolah ditutup memberi cabaran kepada sesetengah pelajar calon peperiksaan untuk meneruskan pembelajaran sehingga terpaksa bekerja sambilan mencari duit lebih untuk menampung kos Internet.
Muhd Iqmal Shafy, 17, pelajar Kolej Vokasional Kajang berkata beliau terpaksa mencari duit lebih kerana perbelanjaannya kini bertambah, dan tanpa data Internet pembelajarannya menjelang peperiksaan akan terganggu.
Calon Sijil Vokasional Malaysia (SVM) itu dijadual menduduki peperiksaan pada Februari tahun depan, selepas dianjak daripada jadual asal bulan ini.
“Selain data internet, saya perlu mencetak semua kertas tugasan saya, jadi ada tambahan kos kertas dan dakwat,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Iqmal bekerja di kedai makan dengan upah RM40, dari 4 petang hingga 8 malam.
“Saya tak nak menyusahkan ibu bapa untuk minta duit, lagipun sekarang kelas habis awal… tak macam sekolah dulu, sesi kelas panjang.
“Daripada tak buat apa di rumah, saya rasa lebih baik saya kerja.
“Duit yang saya dapat saya boleh beli data internet dan barang-barang untuk siapkan tugasan saya,” katanya.
Ditanya bagaimana murid sepertinya menyesuaikan diri dengan norma baharu, Iqmal berkata pelajar antara yang paling terkesan dengan perubahan sekarang.
Katanya, mereka sukar hendak memahami apa yang dipelajari apabila kelas ditukar ke dalam talian.
“Belajar dekat rumah ini lain, macam nak buat sesuatu kena ada mood sebab seorang… kalau stress atau susah nak jawab soalan, kita terpaksa hadap sendiri.
“Kalau di sekolah lain, sebab kita berjumpa dengan kawan-kawan jadi kita bersemangat.
“Kalau stress atau susah nak jawab soalan, kita akan stress ramai-ramai… jadi benda itu seronok, tak adalah terlalu beban sangat,” katanya.

Beliau juga merasakan pembelajaran dalam talian susah kerana memakan masa untuk bertanya kepada guru atau rakan-rakan, biasanya melalui WhatsApp, sekiranya ada sesuatu yang tidak mereka fahami.
“Kalau di sekolah kalau ada yang tak faham, saya akan terus saja jumpa cikgu atau pun ada kawan-kawan, bincang dengan mereka,” katanya.
Rakannya Ariff Akthar, 17, juga mengakui lebih suka belajar di sekolah berbanding seorang diri di rumah.
Tidak seperti Iqbal, walaupun agak bernasib baik kerana rumahnya ada kemudahan wi-fi, beliau masih terpaksa berkongsi komputer riba dengan adiknya.
“Di rumah ada dua komputer riba tapi satu itu ayah guna dan satu lagi kami kongsi adik beradik.
“Misal kata kalau masa itu ayah tak guna untuk kerja dia, bolehlah kita pinjam. Kalau tidak biasanya kita akan ikut giliran,” katanya.
Kajian agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai kesan Covid-19 ke atas penduduk miskin bandar di Kuala Lumpur baru-baru ini mendapati sekolah yang ditutup menyebabkan murid hilang semangat untuk ke sekolah semula.
Dalam Belanjawan 2021, kerajaan mencadangkan peruntukan RM1.5 bilion untuk mengurangkan beban kewangan golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan kemudahan Internet.
Kerajaan menganggarkan lebih kurang lapan juta orang daripada golongan B40 akan menerima bantuan RM180 seorang dalam bentuk kredit telekomunikasi bermula suku pertama tahun depan. – 12 Disember, 2020.
Komen