BAGI sebilangan pelajar di rumah kos rendah di Lembah Klang, sekolah adalah sesuatu yang membosankan sejak pandemik Covid-19 melanda mengakibatkan ramai daripada mereka mengambil keputusan tidak hadir ke sekolah beramai-ramai.
Pelajar-pelajar ini, sebahagian besarnya daripada golongan berpendapatan rendah berkata, sejak sekolah ditutup di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac sehingga PKP Bersyarat, mereka tidak berminat untuk belajar.
Ketakutan ibu bapa terhadap penularan virus di sekolah menyebabkan mereka lebih suka berpeleseran di kawasan kejiranan dari menghadiri kelas.
Situasi di lapangan mencerminkan laporan terbaru “Families on The Edge”, kajian bersama Unicef dan Dana Penduduk Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) terhadap golongan miskin bandar menunjukkan bahawa satu daripada lima kanak-kanak telah hilang minat untuk bersekolah sementara 7% pelajar menengah atas tidak lagi mengikuti pelajaran sejak itu.
Para pakar berkongsi bahawa kerajaan dapat memperkuat langkah-langkah untuk mencegah masalah ponteng sekolah.
Langkah-langkah ini dapat merangkumi kolaborasi aktif antara sekolah dan perkhidmatan kebajikan sosial.
Kira-kira 500 keluarga di perumahan Program Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang, sebuah program kerajaan untuk menetap semula rumah setinggan dan menyediakan keperluan perumahan bagi mereka yang berpendapatan rendah turut ditemubual untuk kajian bersama ini.
Muhammad Asyraf Syafi, 14, dari SMK USJ 8 Subang Jaya berkata dia mendapat tahu hanya dua orang pelajar yang hadir di dalam kelasnya.
Menurutnya dia sendiri kadang-kadang hadir ke sekolah untuk mengelak dari menerima surat amaran.
“Tidak ada apa-apa ujian tahun ini dan jika saya perlu menilai prestasi pembelajaran saya, sudah pasti lebih teruk dari tahun lalu,” katanya.

Muhammad Azmie Ramle, 15, yang juga bersekolah di SMK USJ 8 berkata dia tidak bersekolah sepanjang tempoh PKP dan sering ponteng apabila kelas fizikal disambung semula kemudian dihentikan tiga minggu lalu apabila berlaku peningkatan kes Covid-19.
Ibunya Asmiah Acho, 34, berkata dia tidak tahu bagaimana mahu memberikan motivasi kepada anaknya untuk belajar.
Selalunya dia mendapati anaknya bersama anak-anak jiran yang lain bermain bersama.
“Saya akan memintanya untuk membuang sampah dan saya tidak pernah melihatnya sepanjang hari.
“Saya hanya berharap dia tahu bagaimana membahagikan waktunya dengan baik antara pelajaran, sukan atau aktiviti pembinaan karakter,” kata ibu kepada lima anak ini.
Sabrina Zainukamal, 42, seorang ibu lain di kawasan kejiranan sama berkata dia bimbang anaknya tidak dapat mengikuti pelajaran tetapi dalam masa sama khuatir anaknya akan dijangkiti virus berkenaan.
“Ini bukan selsema biasa, ini penyebab kematian. Oleh itu saya sentiasa memberi nasihat kepada keluarga saya untuk sentiasa menjaga kebersihan mereka,” katanya.
Pelajar tidak bermotivasi
Chandreshan Ravichandren, 23, keluar untuk bermain dengan anak-anak flat kos rendah yang lain pada malam Selasa di padang awam di Subang Jaya.
Peminat sukan yang bersama-sama menubuhkan Dream Village Cricket Academi (DVCA) sering berinteraksi dan bersama-sama belia serta melatih mereka bermain kriket.
“Ketika pertama kali bertemu dengan Azmie, dia datang bersama dengan memakai seluar jeans, berkaki ayam dan menghisap rokok elektronik. Saya memberitahunya bahawa jika dia mahu ikut bermain, dia perlu serius.
“Kali kedua Azmie datang dia memakai seluar sukan yang betul dan tidak membawa rokok elektronik. Saya juga memberinya sepasang kasut seperti yang dijanjikan.
“Dan kemudian dia datang setiap minggu,” katanya.
Chandreshan berkata bahawa penting untuk berkomunikasi dengan visi dan tujuan yang menarik minat remaja berkenaan.
“Mereka tidak mahu bersekolah. Sekiranya kita beri mereka buku dan pen serta paksa mereka untuk belajar, mereka tidak mahu lakukannya.
“Mereka cenderung memilih muzik walaupun tak ada guru muzik. Mereka juga pandai bersukan, selepas ajar mereka sekali, mereka dapat kemahiran secara semulajadi.
“Sistem sekolah perlu diubah untuk memenuhi minat mereka,” katanya.

Salah seorang remaja Ziehan Abdul Handi, 14, berkata dia pernah sekali ke sekolah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Pada hari itu dia terlupa di mana seluar sekolahnya dan dia datang ke sekolah dengan pakai sukan.
Gurunya menghantarnya pulang untuk mendapatkan pakaian seragam yang sesuai.
Ziehan pulang dan tidak kembali ke sekolah. Sebaliknya dia pergi ke padang lebih awal untuk bermain.
“Anak-anak merasa ada banyak undang-undang di sekolah. Mereka berkata guru selalu memarahi dan guru lebih gembira tidak berurusan dengan mereka.
“Bagi Ziehan, untuk kembali ke sekolah semasa PKPP adalah satu kejayaan tetapi peraturan itu menyebabkan dia tidak bermotovasi,” kata Chandreshan.
Ziehan berkata dia rindu belajar bahasa Melayu yang merupakan subjek kegemarannya di sekolah.
Dia juga takut gagal tetapi sekarang dia tidak ada rancangan untuk meningkatkan dirinya.
“Selepas PKPP persekolahan untuk tahun ini akan hampir berakhir. Oleh itu beberapa jurulatih dan saya memikirkan idea program percutian untuk mereka.
“Kami berharap dapat membina ruang yang selamat untuk mereka, sebuah pasukan bersama mereka membawa ke pertandingan dan mendedahkan diri mereka, inilah pendidikan yang dapat saya bawa kepada mereka,” katanya.
Chandreshan sendiri berjuang mengatasi kemiskinan ketika dia membesar dan berdepan akibat dari memilih jalan hidup yang teruk.
Pasukan kriket yang mengubahnya dan akhirnya dia terpilih untuk pasukan kebangsaan.
Semasa berdepan kecederaan ringan dia terinspirasi untuk bersama-sama membawa DVCA membantu anak-anak yang terpinggir. – 4 November, 2020.
Komen