PERUNTUKAN Belanjawan 2021 untuk tiga lagi kementerian diluluskan di Dewan Rakyat hari ini, menjadikan setakat ini kesemuanya 17 kementerian gagal ditolak oleh pembangkang.
Peruntukan yang diluluskan hari ini ialah bagi Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, dan Kementerian Alam Sekitar dan Air, yang diputuskan secara undian suara, manakala untuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya diundi secara belah bahagian.
Ini menjadikan tinggal 10 lagi kementerian yang akan dibahas cadangan belanjawannya untuk tahun depan di peringkat jawatankuasa, yang ditetapkan sehingga Selasa ini.
Cubaan ahli Parlimen Maria Chin (Petaling Jaya-Pakatan Harapan) untuk memotong RM1.95 juta daripada peruntukan RM551.8 juta bagi Kementerian Alam Sekitar dan Air gagal selepas tidak mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat melalui undian suara.
Maria mengusulkan potongan untuk penjimatan melibatkan peruntukan bagi Ekspo Dunia Dubai.
“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya tahun lalu ada menerima sebanyak RM60 juta diperuntukkan untuk bina pavilion Malaysia, ia berkaitan ekspo Dunia Dubai… sebab itu saya rasa ia perlu (dipotong dan) disalur ke kementerian lain yang perlu dana ini.
“Lain-lain negara adakan ekspo melalui online dan kita boleh laksanakan new normal. Saya cadang peruntukan semula keseluruhan itu disalurkan kepada Kementerian Kesihatan supaya lebihan dana boleh disalurkan kepada kementerian ini untuk membantu penyakit lain yang kritikal dan saya harap usul ini dapat disokong,” katanya, semasa sesi perbahasan di peringkat jawatankuasa.
Dalam penjelasannya, menteri Tuan Ibrahim Tuan Man menerangkan dana berkenaan akan digunakan untuk pembinaan pavilion Malaysia di Dubai, selain keperluan kakitangan yang akan bertugas.
“Kita perlu peruntukan untuk pemantauan pembinaan, kakitangan, pelbagai pihak dan peruntukan yang sangat signifikan dengan keperluan.
“Ekspo Dunia Dubai berlangsung dari Oktober tahun ini hingga Mac tahun depan. Persiapan perlu untuk setiap kementerian untuk laksanakan pameran dan seminar.
“Ia tak termasuk dalam bajet RM60 juta yang diluluskan peringkat awal,” kata ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi.
Sebelum itu, 109 ahli Parlimen mengundi meluluskan peruntukan untuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, sementara 96 menolak dan 15 tidak hadir.
Esok Dewan Rakyat akan menentukan pula peruntukan untuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Blok pembangkang sebelum ini mengumumkan akan cuba menggagalkan Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa dan bacaan ketiga, yang dijadual pada minggu depan, selepas membiarkan cadangan kerajaan lulus pada peringkat dasar pada 26 November lalu.
Mereka ketika itu dilihat tidak sepakat apabila ada yang memilih untuk menolaknya secara undian suara walaupun Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam mesyuarat sehari sebelumnya memutuskan menolak Belanjawan 2021 melalui undian belah bahagian.
Usul untuk undian belah bahagian bagaimana gagal memenuhi syarat sokongan sekurang-kurangnya 15 ahli parlimen. – 8 Disember, 2020.
Komen