Peruntukan untuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya lulus


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Peruntukan Belanjawan 2021 bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya diluluskan di Dewan Rakyat hari ini dengan 109 ahli Parlimen menyokong secara undian belah bahagian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2020.    

PERUNTUKAN Belanjawan 2021 bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya diluluskan di Dewan Rakyat hari ini secara undian belah bahagian.

Ia diluluskan dengan 109 ahli Parlimen menyokong sementara 96 tidak menyokong dan 15 tidak hadir, selepas blok pembangkang meminta undian dibuat secara belah bahagian setelah menteri Nancy Shukri selesai menggulung perbahasan pada peringkat jawatankuasa.

Ini adalah peruntukan Belanjawan 2021 yang ke-15 yang diluluskan, daripada 27 kementerian, selepas cadangan kerajaan lulus pada peringkat dasar pada 26 November lalu.

Peruntukan yang diluluskan hari ini antara lain bertujuan membantu pemain industri pelancongan yang teruk terjejas akibat Covid-19.

Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz memperuntukan RM200 juta di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan.

Nancy baru-baru ini menjelaskan walaupun peruntukan itu tidak dinyatakan semasa pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, ia ada dalam cadangan kerajaan.

Belanjawan 2021 juga menambah peruntukan untuk Kraftangan daripada RM57 juta pada 2020 kepada RM91 juta untuk tahun depan.

Dewan Rakyat hari ini menyambung perbahasan peringkat jawatankuasa bagi peruntukan untuk Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Alam Sekitar dan Air. – 8 Disember, 2020.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen