Anak lapor polis 'kehilangan' tanah Felda RM200 juta


Amin Iskandar

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) Mazlan Aliman ketika mengumumkan kepada media mengenai laporan polis oleh beliau mengenai isu pertukaran hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang bernilai lebih RM200 juta.– Gambar ihsan Anak, 22 Disember, 2017.

PERSATUAN Anak Peneroka Felda (Anak) hari ini membuat laporan polis berhubung isu pertukaran hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang bernilai lebih RM200 juta.

Presiden Anak Mazlan Aliman berkata, laporan polis itu dibuat di Johor Bahru pagi tadi.

“Laporan polis dibuat di Balai Polis Central JB jam 10.30 pagi tadi oleh tujuh orang. Ia akan disusuli laporan sama dari seluruh Felda di seluruh negara,” kata Mazlan kepada The Malaysian Insight.

Dalam laporan yang dikongsi Mazlan kepada The Malaysian Insight, beliau menggesa pihak polis menyiasat dengan segera dan mendakwa mereka yang terlibat dalam isu pertukaran hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, seperti didedahkan semalam.

Semalam akhbar Berita Harian melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak di Kuala Lumpur, yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015. 

Menurut akhbar pro kerajaan itu, pindah milik tanah tersebut dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun, 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Sebagai reaksi kepada laporan itu, Felda semalam mengesahkan berlaku penyelewengan dalam penukaran hak milik sebidang tanah strategiknya di Jalan Semarak dan membuat laporan polis mengenainya.

Pengerusi Felda Shahrir Samad berkata, selain laporan polis mereka juga membuat permohonan kaveat (notis rasmi kepada mahkamah) persendirian ke atas tanah itu untuk memperoleh semula hak milik berkenaan.

Shahrir berkata, ia dilakukan oleh sebuah syarikat yang diberi kuasa sebagai wakil Felda iaitu Synergy Promenade Sdn Bhd, yang menjual sendiri tanah itu kepada syarikat dikuasai firma berkenaan dan melibatkan empat perjanjian jual beli yang setiap satunya berjumlah RM54.5 juta, RM96.9 juta, RM12 juta dan RM106.4 juta.

Isa Abdul Samad merupakan pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017 sebelum digantikan Shahrir yang juga ahli Parlimen Johor Bahru.

Isa juga pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dari 1 Januari, 2011 hingga 19 Jun lalu dan pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai, 2013 hingga 2017.

Kini Isa merupakan pemangku pengerusi kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). – 22 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • diharapkan isu ini dapat diselesaikan dgn baik & segala salah guna kuasa yg berlaku perlu dikenakan hukuman yg setimpal..

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan