Azmin gila kuasa tak serupa dulu, kata pengundi Gombak


Diyana Ibrahim

Penduduk di kawasan Parlimen Gombak meluahkan kekecewaan mereka terhadap ahli Parlimen Mohamed Azmin Ali yang didakwa tidak cakna dengan kebajikan penduduk selepas bergelar menteri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2020.

PENGUNDI Gombak kecewa kerana melihat wakil rakyat mereka, Mohamed Azmin Ali terlalu sibuk dengan hal politik dari mengambil tanggungjawab menjaga kebajikan pengundi kawasan itu.

Beberapa pengundi Gombak memberitahu The Malaysian Insight, mereka melihat Azmin kini berubah menjadi pemimpin yang gila kuasa tidak seperti yang mereka kenal dulu.

Seorang pesara yang hanya mahu dikenali sebagai Md Amin, 65, berkata prestasi Azmin sebagai wakil rakyat Gombak sangat berbeza berbanding sebelum beliau menjadi menteri.

Kini, Azmin mula mengabaikan pengundi dan jarang turun ke kawasan dan tidak lagi cakna dengan kebajikan mereka apabila dilantik menjadi menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional, katanya.

“Azmin dulu bukan Azmin yang sekarang, jauh berbeza. Beliau dah macam gila kuasa. Prestasinya tak sama macam berbeza jika dibandingkan dengan tiga pilihan raya lepas,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai masalah di Gombak seperti isu bekalan air, banjir dan isu tanah seperti di Kampung Mulia perlu mendapat perhatian daripada ahli Parlimen itu.

Namun katanya Azmin langsung tidak mempedulikan dan membantu masalah penduduknya.

“Baru-baru ini ada beberapa rumah banjir. Sudahlah kawasan itu ramai warga emas yang tinggal tapi dia langsung tak ada jenguk tengok keadaan pengundi dia.

“Masalah air pun satu hal juga. Beliau tak ada turun tanya keadaan orang-orang tua. Kalau dulu Azmin akan telefon bagi bantuan air kepada penduduk,” katanya.

Majoriti penduduk warga emas di kampung itu juga kesal dengan projek pembinaan perumahan Residensi Wilayah (Rumawip) yang lebih banyak menguntungkan penduduk luar.

“Di Kampung Mulia boleh pula buat Rumawip atas tanah orang kampung. Sepatutnya tak berlaku macam itu sebab jualan rumah itu kepada orang luar,” luahnya.

Oleh itu beliau tidak hairan apabila Azmin kini disaman sekumpulan pengundi yang berasa dikhianati kerana menteri itu melanggar tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Kami saman bukan sebab benci tapi nak nak bagi dia celik mata tengok keadaan Gombak sekarang ini. Memang macam-macam hal sekarang,” katanya.

Selasa lepas sepuluh pengundi di Gombak menyaman Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari sebagai ahli Parlimen yang mereka pilih dalam pilihan raya umum lalu.

Ia ekoran tindakan Azmin yang terlibat dalam percaturan politik menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada hujung Februari lepas.

Mereka meminta mahkamah mengisytiharkan, sebagai wakil rakyat yang dipilih, Azmin mempunyai tanggungjawab fidusiari terhadap pengundinya serta memegang amanah mereka.

Rata-rata penduduk Gombak menyatakan prestasi Azmin sebagai wakil rakyat di kawasan Parlimen itu sangat berbeza berbanding sebelum beliau menjadi menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2020.

Mereka juga meminta mahkamah mengisytiharkan Azmin secara tort telah menipu mereka melalui ikrar semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berikrar untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan pemimpin yang korup.

Azmin tidak pernah menafikan penglibatannya dalam gerakan politik pada hujung Februari tetapi baru-baru ini mendakwa kerajaan PN ditubuhkan atas kehendak Dr Mahathir Mohamad.

Dakwaan itu disangkal Dr Mahathir.

Azmin menyertai kerajaan baharu PN yang dibentuk oleh Bersatu yang keluar daripada PH bersama BN dan PAS, serta disokong oleh parti-parti dari Sarawak dan Sabah.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang mengetuai kerajaan baharu selepas itu melantik Azmin sebagai menteri kanan ekonomi dalam jemaah menteri.

Seorang peniaga, Azil Haniff, 42, meluahkan perkara sama kerana kecewa terhadap tindakan pemimpin itu yang lompat parti dan mengkhianati parti sendiri.

Beliau menganggap tindakan itu sebagai satu pengkhianatan kepada pengundi Gombak dan kecewa kerana melihat Azmin tidak berbuat apa-apa untuk menebus kesalahannya.

“Saya undi dia sebab percaya dia, kemudian dia boleh khianat. Sudahlah khianat lepas itu tinggalkan saja pengundi. Tak ada lah nak ambil hati pengundi ... tak ada,” katanya.

Ketika diminta menilai prestasi penyokong Azmin, Muhammad Hilman Idham yang juga wakil rakyat Gombak Setia, Azil berkata prestasi itu juga sama seperti menteri tersebut.

“Dia terlalu sibuk jaga bos sampai lupa dia Adun kawasan sini,” katanya.

Ditanya lanjut sama ada Azmin masih lagi berpeluang untuk mempertahankan kerusinya sekiranya bertanding di Gombak, Azil berkata ia susah dijangka.

Jelas beliau penduduk Gombak tidak dapat menafikan Azmin sebelum ini banyak membantu pengundi tetapi tidak dapat  menilai sokongan ke atas menteri itu pada masa ini.

“Susah nak jangkalah, sebab terus terang jasa Azmin kepada penduduk Gombak ini banyak jugalah semasa sebelum dia jadi menteri jadi susah nak ramal sebenarnya,” katanya.

Seorang lagi penduduk Gombak yang hanya mahu dikenali sebagai Zolnaidah, 65, juga berkata beliau masih perlu berfikir lebih lanjut sama Azmin akan terus disokong.

“Betullah, sekarang ini memang susah nak nampak Azmin. Tak ada dengar apa-apa pun program dia. Dulu banyak juga program bantuan yang bagi. Kalau Hari Raya, dia panggil penduduk.

“Sekarang ini tak ada dah. Tapi nak kata dia ada lagi sokongan untuk pilihan raya, tak tahulah nak cakap,” katanya yang tinggal di Gombak sejak tahun 1965 lagi.

Bekas menteri besar Selangor itu juga kini menadi menjadi perhatian kerana menyerang penggantinya di jawatan itu, Amirudin Shari.

Azmin melepaskan jawatanya itu kepada Amirudin apabila dilantik menjadi menteri persekutuan selepas PH menang PRU14.

Namun dalam satu program di Gombak minggu lalu, Azmin memperleceh Adun Sungai Tua itu dengan dakwaan Amirudin bukan dalam senarai calon pilihan menteri besar

Menjawab tuduhan itu, seorang pegawai khas Amirudin Saifudin Shafi mempertahankan menteri besar itu.

Katanya, peluang yang diberikan kepada Amirudin adalah berdasarkan prestasi baik dan juga keyakinan ke atas keupayaan Amirudin untuk memimpin negeri itu.

“Orang Melayu kita diajar untuk mengenang budi dan menghargai usaha serta kebaikan orang lain dalam membantu apa juga dalam proses kemajuan diri kita,” katanya.

Kepercayaan itu juga membuktikan kepentingan Amirudin untuk terus setia kepada parti dan rakyat, katanya.

“Namun, kita juga wajar terus berpegang pada prinsip bahawa kedudukan ini adalah juga kerana parti.

“Dan wajarlah pentadbiran kerajaan Selangor teguh dengan janji dalam melaksanakan agenda reformasi untuk semua rakyat Selangor khasnya,” katanya. – 5 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen