BARISAN Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sudah mencapai kata sepakat untuk tidak bertanding di kerusi sama dalam pilihan raya umum (PRU15) akan datang, kata Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaacob.
Ini bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru, katanya, kerana PAS yang membentuk kerjasama dengan Umno dalam Muafakat Nasional adalah juga anggota PN.
“Kita tak nak ada tiga penjuru. Kalau kita bertanding, PN tidak bertanding. Persetujuan sudah dicapai setakat ini. BN tidak sertai PN.
“BN bertanding atas lambang sendiri dan PN atas lambang mereka sendiri,” katanya, seperti dipetik Mingguan Malaysia.
Sementara itu, Ismail mengesahkan beliau tidak lagi mempengerusikan jawatankuasa pembahagian kerusi Umno, yang sudah berunding dengan PAS untuk menentukan kerusi yang ditandingi dalam PRU15.
Jawatankuasa itu kini dipengerusikan oleh timbalan presiden Umno Mohamad Hasan.
Beliau juga tidak pasti status rundingan Umno selepas PAS menyertai PN.
PAS membentuk kerjasama dengan Umno atas nama Muafakat Nasional demi mengukuhkan kepentingan Melayu-Islam, yang dimeterai piagamnya pada September 2019.
Selepas percaturan politik yang membentuk kerajaan baharu pada Februari lalu, PAS bekerjasama pula dengan Bersatu mengasaskan parti baharu dengan nama PN, yang turut disertai dua parti dari Sabah. PN diluluskan pendaftarannya pada Ogos lalu.
Umno dan Barisan Nasional bagaimanapun memutuskan tidak menyertai PN.
Pada Ogos, Umno dan PAS menjemput Bersatu menyertai MN, dan dipersetujui oleh parti itu. Umno dan PAS juga bulan lalu mengumumkan akan mendaftarkan MN sebagai sebuah gabungan yang sah.
Bagaimanapun Ismail Sabri berkata pendaftaran gabungan itu agak sukar kerana PAS sudah bersama PN.
“Mustahil bagi sebuah parti untuk berada dalam dua gabungan parti,” katanya.
Semalam, dalam ucapan dasar di perhimpunan agung partinya Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin melahirkan harapan agar Bersatu, Umno dan PAS akan mengukuhkan hubungan dan membina kekuatan sesama mereka.
“Ketiga-tiga parti ini mestilah saling memperkukuh dan memperkuatkan antara satu sama lain. Tidak boleh berpecah. Tidak boleh bertembung. Tidak boleh memilih haluan yang berbeza,” katanya.
Muhyiddin juga menegaskan masa depan Bersatu ialah dengan memperkukuhkan hubungan antara parti-parti dalam PN dan BN, serta parti-parti di Sabah dan Sarawak dalam Gabungan Rakyat Sabah dan Gabungan Parti Sarawak. – 29 November, 2020.
Komen