Bersatu, Umno setuju pulih hubungan, kata Muhyiddin


Diyana Ibrahim Kamles Kumar

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata, persefahaman itu dicapai melalui pertemuan dan perbincangan hati ke hati bersama presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru- baru ini. – Gambar ihsan Bersatu, 28 November, 2020.

BERSATU dan Umno bersetuju untuk memulihkan semula hubungan kedua-dua parti bagi mengelak pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya akan datang, kata Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu berkata, persefahaman itu dicapai melalui pertemuan dan perbincangan hati ke hati bersama presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru- baru ini.

“Untuk makluman para perwakilan sekalian, beberapa hari yang lalu saya telah mengadakan pertemuan empat mata dengan presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional  Ahmad Zahid Hamidi.

“Kami berbincang dari hati ke hati, bercakap secara terus terang. Kami sedar hubungan antara Bersatu dan Umno mesti diperbaiki,” kata Muhyiddin.

Dalam ucapan di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu itu, beliau berkata persefahaman juga dicapai untuk memperkukuhkan kerjasama dan hubungan dengan PAS.

Katanya dengan persefahaman baharu yang dicapai ini ia akan dapat mengelakkan pertembungan tiga penjuru antara parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional.

“Ketiga-tiga parti ini mestilah saling memperkukuh dan memperkuatkan antara satu sama lain.

“Tidak boleh berpecah. Tidak boleh bertembung. Tidak boleh memilih haluan yang berbeza,” katanya dalam ucapan yang disiarkan langsung di media sosial.

Beliau juga turut mencadangkan penubuhan majlis presiden dianggotai ketua parti dalam Perikatan Nasional, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah.

Jelasnya penubuhan majlis presiden itu dicadangkan kerana Kabinet tidak dianggotai oleh semua ketua parti.

“Menerusi mesyuarat ini, setiap ketua parti boleh menyampaikan pandangan parti masing-masing mengenai dasar utama kerajaan untuk diambil perhatian oleh Kabinet dalam membuat sesuatu keputusan.

“Saya juga ingin mencadangkan supaya pertemuan antara ketua parti yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional diadakan secara lebih kerap.

“Mesyuarat secara berkala boleh diadakan untuk membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar-dasar ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain,” katanya.

Pengumumannya itu bagi meredakan pergeseran di antara kedua-dua parti itu yang memuncak dengan ancaman Umno sejak beberapa bulan lalu untuk tidak lagi menyokong Perikatan Nasional.

Para pemimpin Umno antara lain mendakwa parti tersebut disisihkan dalam gabungan tersebut dan tidak banyak mendapat agihan jawatan walau banyak menyumbang untuk mengambil alih kerajaan.

Selain itu, para pemimpin Umno juga bimbang akan kehilangan peluang bertanding apabila kerusi tertentu akan diagihkan kepada Bersatu.

Sikap Umno itu turut dikaitkan dengan keyakinan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang mendakwa memperolehi sokongan majoriti untuk mengambil alih kerajaan semula. – 28 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen