Umno sepatutnya memimpin, bukan dipimpin, kata Ku Li


Mohd Farhan Darwis Kamles Kumar

Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan Umno sepatutnya disokong, dan bukannya sokong parti lain, kerana ia parti terbesar dalam blok kerajaan walaupun kalah PRU 2018. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 November, 2020.

UMNO seharusnya menjadi parti yang menguasai kerajaan dan memegang portfolio penting dalam Jemaah Menteri kerana parti itu mempunyai bilangan ahli Parlimen paling ramai di Dewan Rakyat, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Pengerusi Lembaga Penasihat Umno menegaskan Umno sepatutnya disokong, dan bukannya menyokong parti lain, kerana ia parti yang terbesar dalam blok kerajaan walaupun kalah pilihan raya umum 2018.

“Sebenarnya kita tak patut bagi sokongan… saya bercakap terus terang kerana Umno parti terbesar.

“Walaupun kalah pilihan raya umum 2018, tapi bilangan kita terbesar di Parlimen, kita patut mengepalai mana-mana kerajaan baru yang dibentuk, bukan kerana kita besar kepala, bukan nak jadi ketua.

“Kita adalah golongan terbesar, parti tertua, ada pengaruh di merata tempat. Rakyat di setiap sudut kehidupan di negara ini ada kait-mengait dengan perjuangan kita… wajar kita diberi pimpinan,” katanya kepada The Malaysian Insight, semalam.

Umno adalah golongan terbesar, parti tertua, ada pengaruh di merata tempat, kata Tengku Razaleigh Hamzah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2020.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga berkata beliau mempersoalkan pimpinan Umno kerana Umno tidak memegang lebih banyak jawatan menteri atau diberi peranan portfolio utama dalam kabinet Muhyiddin Yassin.

“Saya soal pimpinan Umno, mengapa kita jadi begitu… mengapa tak ambil pimpinan parti kerajaan baru untuk Umno… tapi mereka pun tak boleh jawab. 

“Kita bagi sokongan jugalah (kepada kerajaan Muhyiddin) sebab nak redakan krisis politik,” tambahnya.

Beliau diwawancara dalam program Insight Talk di kediamannya di Kuala Lumpur.

Tengku Razaleigh, 83, menegaskan wakil rakyat Umno mampu menjamin kestabilan pentadbiran sekiranya memegang portfolio penting kerana parti itu ada pengaruh yang besar di serata negara.

“Saya sekarang ini tak setuju dengan kerajaan ini… kalaupun orang lain memimpin kerajaan ini, tetapi bahagian untuk kita mentadbir negara ini mestilah portfolio penting kerana kita mempunyai pengaruh yang luas.

“Kita boleh menjamin supaya kestabilan wujud, kerana kita mempunyai pengaruh yang luas dan pengalaman yang banyak.

“Itu sebab kita rasa kita boleh menyumbang terhadap perkhidmatan yang lebih baik daripada apa yang dinikmati sekarang,” katanya, yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li.

Umno kini mempunyai 39 ahli Parlimen di Dewan Rakyat selepas segelintir wakil rakyatnya bertindak meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu selepas PRU14.

Tengku Razaleigh Hamzah ketika diwawancara dalam program Insight Talk di kediamannya di Kuala Lumpur, semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 November, 2020.

Kaji semula hubungan dengan Bersatu, PAS

Tengku Razaleigh berpendapat Umno harus menimbang semula hubungannya dengan Bersatu dan PAS untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Menurutnya, hubungan antara ketiga-tiga parti itu harus dikaji memandangkan mereka kini mula bertelagah antara satu sama lain,  lebih-lebih lagi melibatkan pembahagian kerusi, yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

“Apa untung kita (Umno) dengan parti Bersatu? Apa untung kita berpakat dengan PAS? Matlamat mereka seakan sama, akhirnya kita bergaduh pula. 

“Konflik yang bakal berlaku tak baik untuk rakyat dan negara. Baiklah kita fikir masak masak.

“Saya rasa elok kita kaji semula,” katanya. 

Ahli Parlimen 11 penggal itu turut menyifatkan pemimpin Bersatu sebagai pengkhianat yang pernah buat salah kepada Umno, dan kesalahan itu tidak dimaafkan.

“Ramai yang memihak kepada Muhyiddin adalah mereka yang terdiri daripada pengkhianat… orang yang lari daripada kita, yang ada kes, yang kita rasa tak boleh dimaaf. Mereka berada bersama Muhyiddin.

“Kita rasa tak sepatutnya kita berada dalam perkongsian ini, walaupun untuk berkuasa di negara.

“Kita rasa tak patut langsung bagi sokongan… tapi apakan daya, kita nak tengok keadaan baik, apatah lagi kita dilanda Covid-19. Itulah yang diputuskan oleh kita,” katanya, merujuk perkongsian kuasa yang dibentuk sejak Mac lalu.

Umno dan komponen Barisan Nasional menyokong Muhyiddin untuk jadi perdana menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional yang disertai PAS serta disokong parti dari Sabah dan Sarawak.

Umno patut mengepalai mana-mana kerajaan baru yang dibentuk, kata Tengku Razaleigh Hamzah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2020.

“Kita nak kerusi kita”

Umno juga kata Tengku Razaleigh harus bertegas untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRU14 serta tidak bertolak ansur dengan Bersatu.

“Mana kerusi kita dulu kita kekal, tidak ada nak runding-runding lagi. Apa nak runding, kerusi kita.

Umno hilang 15 kerusi – 10 di Semenanjung dan 5 di Sabah – akibat wakil rakyatnya menyeberang parti menyertai Bersatu, antaranya Hamzah Zainuddin (Larut Matang), Mustapa Mohamad (Jeli) dan Mas Ermayati Samsuddin (Masjid Tanah).

Tengku Razaleigh juga sekali lagi menegaskan Umno harus merampas semula kerusi Pagoh dan Langkawi. Pagoh ialah kerusi yang disandang oleh Muhyiddin sementara Langkawi dimenangi oleh Dr Mahathir Mohamad dalam PRU14.

“Itu bukan sesiapa punya. Kerusi itu bukan baru wujud… baru menjelma, tapi kesilapan kempen dulu kita kalah. 

“Sekarang ini cubalah… kita nak semua kawasan itu dan kita yakin boleh menang dengan strategi yang betul.

“Kita tak pernah kalah, baik di Langkawi atau Pagoh,” katanya. – 17 November, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Syabas Tengku Rajaleigh. inilah pemimpin UMNO yang tulen dan berprinsip. Pemimpin UMNO sekarang hanya kejar wang. UMNO sepatutnya keluar dari kerajaan PN dan gabungan MN

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Masfaliza masmuda · Ulasan