SELEPAS diberhentikan kerja, beberapa bekas pekerja Malindo Air kini berdepan detik sukar untuk menyara kehidupan sementara mendapat pekerjaan baharu.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, kini mereka berdepan dua masalah - diberhentikan kerja dan berdepan masalah pampasan.
Leman, yang merupakan kakitangan operasi berkata pampasan itu akan dibayar secara ansuran.
“Saya tidak berpuas hati dengan pampasan kerana ia dibayar secara ansuran,” kata anak jati Perak itu kepada The Malaysian Insight.
“Kini saya menganggur, bagaimana saya nak teruskan hidup jika pampasan dibayar secara ansuran.”
Leman yang kini berusia 40-an, bekerja dalam industri penerbangan hampir dua dekad. Beliau menyertai Malindo Air dua tahun lalu dan merupakan antara 2,000 kakitangan yang diberhentikan bulan lalu.
Menurutnya, kini belia mempertimbangkan untuk memfailkan tuntutan di Jabatan Perhubungan Perusahaan sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan.
Sementara itu, seorang jurutera penyelenggaraan pesawat yang enggan identitinya dikenali menyifatkan langkag pemberhentian pekerja itu tidak berperikemanusiaan.
Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata sejak permulaan lagi kakitangan hanya mengetahui mengenai pemberhentian kakitangan itu menerusi media dan hanya beberapa hari selepas itu mereka diberikan memo.
Menurutnya, pemberhentian dibuat dengan notis singkat dan pampasan tidak sepadan, terutamanya kepada kakitangan yang sudah lama berkhidmat dengan syarikat.
“Mereka tidak mengira tahun perkhidmatan. Ada yang dapat pampasan sebanyak satu, tiga atau enam bulan gaji,” katanya.
Beliau berkata lebih tinggi gaji, lebih banyak komitmen yang ditanggung.
“Syarikat baik sahaja sebelum pandemik. Ianya bermula dengan cuti tanpa gaji secara sukarela selepas Covid-19 bermula.
“Bagi kami yang bersama syarikat itu sejak mula lagi, kami ingin memainkan peranan untuk membantu syarikat agar terus bertahan, oleh itu kami berkompromi dengan mengambil cuti tanpa gaji,” katanya.

Tambahnya. beliau kini berdepan masalah kewangan kerana sukar untuk mendapatkan pekerjaan.
“Bukan senang untuk mendapatkan pekerjaan lebih-lebih lagi jika dari latar belakang penerbangan kerana gaji dan kelulusan kami berkait dengan pengurusan pesawat,” katanya.
Beliau turut menekankan perlunya jurutera pesawat diwakili oleh kesatuan pekerja.
Sementara itu, kru kabin berusia 27 tahun yang enggan dinamakan berkata beliau terpaksa berpindah keluar daripada rumah sewanya selepas diberhentikan kerja.
“Saya kini masih mencari kerja. Buat masa ini saya tinggal bersama ibu bapa saya. Mungkin sudah tiba masanya saya mencari pekerjaan dari bidang lain,” katanya.
Menteri Sumber Manusia M Saravanan memberitahu Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa Jabatan Perhubungan Perusahaan menerima 31 tuntutan untuk pemulihan daripada bekas kakitangan syarikat penerbangan.
Daripada jumlah itu, 24 kes diselesaikan secara baik manakala bakinya masih dalam proses siasatan.
Saravanan berkata jabatan itu menjangkakan lebih banyak kes akan difailkan 60 hari akan datang. – 29 November, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen