Kita tentukan sokong atau tidak belanjawan pada bacaan ketiga, kata Anwar


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata bacaan kali ketiga akan menentukan sokongan mereka terhadap belanjawan Perikatan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2020.

PEMBANGKANG akan menentukan sama ada untuk menolak atau menerima Belanjawan 2021 pada bacaan ketiganya, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

“Masih terlalu awal untuk mereka merayakan berlebihan, walhal yang kita fikirkan ini bukan soal kemenangan politik tetapi kemenangan rakyat dan kebajikan rakyat. 

“Kita ambil keputusan untuk tidak (undi) berbelah bahagi, (kerana) tidak mahu ganggu di peringkat awal,” katanya di Parlimen, hari ini. 

Walaupun Belanjawan 2021 sudah diluluskan pada peringkat dasar hari ini, ia masih perlu melepasi perbahasan dan pengundian peruntukan untuk setiap kementerian.

Anwar berkata PH akan mendesak semakan semula belanjawan dalam perkara yang dianggap perlu.

“Minggu depan kita akan bertarung dengan lebih sengit kerana kita akan dengar perincian. Ini hanya pusingan pertama (bacaan kedua, peringkat dasar), perbahasan lebih teliti akan dilakukan di peringkat jawatankuasa bermula Isnin depan. Kita akan ambil keputusan untuk undi belah bahagi,” katanya lagi. 

Belanjawan peringkat dasar hari ini diluluskan dengan undian suara selepas bilangan ahli Parlimen yang berdiri untuk menyokong undian belah bahagi dibuat tidak mencukupi.

Parlimen sekali lagi akan membahaskan belanjawan pada peringkat jawatankuasa pada Isnin, dengan semua peruntukan untuk setiap kementerian akan diteliti.

Belanjawan itu masih boleh dilawan di peringkat jawatankuasa kerana peruntukan setiap kementerian perlu melalui proses pengundian sebelum diluluskan.

Anwar berkata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengelak daripada menjawab isu pokok seperti perolehan dan jangkaan pertumbuhan ekonomi negara yang dibangkitkan wakil rakyat.

“Tetapi apa yang dilakukannya adalah mengumumkan geran dan elaun tambahan untuk barisan depan, petani, nelayan dan lain-lain.”

Tindakan Tengku Zafrul, kata Anwar merumitkan isu kerana sudah ada “gambaran tidak tepat” dalam kalangan rakyat sekiranya belanjawan ditolak. 

“Itu menjadikan isu ini sulit. Saya tidak mahu dilihat mengabaikan fakta bahawa menteri telah mengambil beberapa langkah, yang lebih diterima oleh rakyat.

“Hal ini kerana ada gambaran tidak tepat dalam kalangan rakyat, kalau kita tolak sepenuhnya, ia akan menyebabkan terjejasnya gaji penjawat awam, elaun buat petugas barisan hadapan dan kemudahan lain serta bantuan rakyat,” katanya. 

Ahli Parlimen Port Dickson itu kemudian mendedahkan yang beliau memujuk rakannya, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk membenarkan belanjawan diluluskan pada bacaan kali kedua.

“Walaupun Lim dan Mohamad mempunyai pandangan yang kuat, saya merayu mereka, berikan tugas itu, buat masa ini kita harus biarkan (belanjawan) terus berjalan.” 

Anwar ditemani Mohamad, Lim dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo pada sidang media itu. – 26 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen