Bersatu akan pinda perlembagaan, mansuh jawatan pengerusi, kata sumber


The Malaysian Insight

Bersatu akan mengadakan perhimpunan agung tahunan Sabtu ini secara dalam talian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2020.

BERSATU akan mengadakan perhimpunan agung tahunan Sabtu ini – secara dalam talian – dengan agenda utama meminda perlembagaan yang akan mengubah cara pemilihan parti serta memansuhkan jawatan pengerusi, kata beberapa sumber dalaman parti.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan pula berkata perlembagaan Bersatu juga akan dipinda untuk membentuk sayap ahli bersekutu, bagi bukan Melayu dan bukan bumiputera.

Perhimpunan agung kali ketiga ini adalah yang pertama sejak parti menarik diri daripada Pakatan Harapan dan berpisah dengan beberapa pemimpin pengasasnya, termasuk bekas pengerusi Dr Mahathir Mohamad.

“Sepatutnya buat September lepas macam biasa tetapi sebab kes Covid-19 meningkat dan ada sekatan perjalanan rentas negeri, kita akan buat secara dalam talian,” kata seorang sumber kepada The Malaysian Insight.

Perhimpunan agung Bersatu dan sayap-sayapnya sebelum ini ditetapkan pada 26 dan 27 September tetapi ditunda kerana bertembung dengan pilihan raya negeri Sabah.

Dalam kenyataannya Hamzah berkata perjalanan perhimpunan agung tahunan secara dalam talian dan cadangan penubuhan sayap baharu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, malam tadi.

“Mesyuarat memutuskan untuk mengangkat cadangan bagi meminda perlembagaan parti bagi tujuan penubuhan sayap baharu ahli bersekutu Bersatu ke Perhimpunan Agung Tahunan 2020,” katanya.

Bersatu pada masa ini mempunyai sayap pemuda dan wanita, yang dikenali sebagai Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi.

Selepas Dr Mahathir Mohamad letak jawatan pada Februari dan kemudiannya tersingkir dari parti, Muhyiddin Yassin memangku jawatan pengerusi Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2020.

Pembentukan sayap baharu ahli bersekutu ditimbulkan pertama kali pada hujung Ogos ketika Bersatu membuka pintu menerima masuk bekas ahli PKR diketuai bekas timbalan presidennya yang dipecat Mohamed Azmin Ali, bersama pengikutnya termasuk yang bukan Melayu.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin ketika itu berkata Bersatu akan merombak struktur parti untuk mendirikan sayap ahli bersekutu bukan Melayu dan pribumi.

Pada masa ini, Perlembagaan Bersatu menerima bukan Melayu dan bukan Bumiputera sebagai ahli bersekutu, yang bagaimanapun tidak menikmati hak sebagai ahli biasa.

Hanya ahli biasa yang terdiri daripada Melayu dan Bumiputera yang ditakrifkan sebagai pribumi diberi hak untuk mengundi dan bertanding bagi mana-mana jawatan dalam parti serta dikira sebagai korum dalam persidangan parti.

Sementara itu, sumber memberitahu The Malaysian Insight, Bersatu juga mahu meminda perlembagaan untuk membatalkan sistem pemilihan seorang ahli satu undi.

Sistem itu dimasukkan ke dalam perlembagaan melalui perhimpunan agung khas Bersatu pada 2019, bagi pemilihan parti yang berakhir Ogos lalu.

Sistem pemilihan seorang ahli satu undi pada masa ini dipakai untuk pemilihan bagi peringkat cawangan dan bahagian.

“Perhimpunan agung ini akan meminda perlembagaan parti untuk selaraskan sistem pemilihan,” kata seorang lagi sumber yang maklum mengenai perjalanan pengurusan parti.

The Malaysian Insight difahamkan Bersatu akan memakai sistem pemilihan yang diamalkan dalam Umno iaitu pengundian oleh perwakilan.

Pindaan perlembagaan memansuhkan jawatan pengerusi pula akan menjadikan presiden sebagai pegawai tertinggi parti, tambah sumber.

“Kita mansuhkan selepas Tun (Dr Mahathir) tidak lagi bersama parti,” kata sumber.

Selepas Dr Mahathir letak jawatan pada Februari dan kemudiannya tersingkir dari parti, Muhyiddin memangku jawatan pengerusi. Jawatan itu kosong selepas Dr Mahathir yang tidak dicabar semasa pemilihan parti kemudiannya tersingkir kerana melanggar peraturan disiplin.

Perlembagaan Bersatu memperuntukkan kedudukan pengerusi sebagai kuasa penentu kepada beberapa keputusan yang hendak dibuat oleh presiden.

Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada Sabtu akan didahului dengan persidangan sayap Pemuda dan Wanita pada sebelah pagi, yang juga dijalankan secara dalam talian.

Bersatu terbelah dua selepas Dr Mahathir tidak setuju dengan langkah Muhyiddin membawa parti keluar dari Pakatan Harapan pada hujung Februari. Langkah itu menyebabkan runtuhnya kerajaan 22 bulan yang dibentuk selepas pilihan raya umum 2018.

Muhyiddin kemudian mengetuai kerajaan baharu Perikatan Nasional yang dibentuk bersama Umno dan Barisan Nasional serta PAS. Ia mendapat sokongan Gabungan Parti Sarawak dan parti dari Sabah serta wakil rakyat bebas.

Dr Mahathir yang tersingkir dari Bersatu selepas tidak sehaluan dengan jalan politik Muhyiddin kemudian mengasaskan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), yang kini menunggu kelulusan pendaftaran. – 25 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen