BERSATU mengumumkan perhimpunan agungnya yang dijadualkan berlangsung pada tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ditunda ke tarikh lain.
Perkara itu diumumkan setiausahanya Hamzah Zainudin dalam satu surat kepada pemimpin parti bertarikh semalam.
Surat yang dilihat The Malaysian Insight itu menyebut, tarikh baharu itu akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi akan datang.
“Lokasi Persidangan Agung Tahunan 2020 juga akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang akan datang,” katanya.
Bersatu menyertai PRN Sabah bertanding di 22 kerusi bersama parti dalam gabungan Perikatan Nasional.
Ia berkempen secara aktif dengan gabungan parti rakannya, Barisan Nasional yang bertanding 41 kerusi, selain PBS yang meletakkan calon di 22 kerusi.
Tiga parti itu bertembung antara satu sama lain di 17 kerusi, dengan 16 daripadanya melibatkan PBS.
Pembangkang di Sabah itu berdepan parti kerajaan Warisan yang bergabung dengan Pakatan Harapan dan Upko dalam Warisan Plus.
Pilihan raya negeri kali ini mempertandingkan 73 kerusi, bertambah 13 kerusi susulan persempadanan semula yang diwartakan pada Julai 2019. – 18 September, 2020.
Komen