Siasat Kitingan ingkar arahan Parlimen, gesa wakil rakyat


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Keningau Jeffrey Kitingan didakwa langgar tempoh kuarantin wajib 14 hari selepas hadir sidang DUN Sabah pada 12 November lalu. – Gambar Facebook, 24 November, 2020.

AHLI Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin mahu Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Jeffrey Kitingan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana didakwa melanggar peraturan mesyuarat.

Notis itu dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun selepas Kitingan yang juga ahli Parlimen Keningau hadir dalam persidangan hari ini tanpa melalui ketetapan Parlimen bahawa semua wakil rakyat dari Sabah perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari.

Chan dalam usulnya merujuk arahan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin pada 9 Oktober lalu yang mensyaratkan kuarantin wajib itu.

“Yang Berhormat Keningau telah menghadiri Dewan Rakyat pada hari Selasa 24 November 2020 walaupun beliau telah dilaporkan menghadiri Dewan Undangan Negeri Sabah hari Khamis 12 November, iaitu 12 hari yng lalu,” katanya dalam usul berkenaan.

Tindakan Kitingan, yang juga Adun Tambunan, ingkar arahan, tambahnya.

Beliau mahu Dewan Rakyat memandang serius perbuatan Kitingan kerana mendedahkan kesemua ahli Parlimen yang lain kepada risiko jangkitan Covid-19.

Usul Chan, yang dibuat melalui Peraturan Mesyuarat 80A, berbunyi: “Maka ini dipersetujui bahawa Yang Berhormat Keningau hendaklah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di atas perbuatan Yang Berhormat yang dianggap sebagai menghina Majlis.”

Awal hari ini, Kitingan yang juga timbalan ketua menteri Sabah hadir di Dewan Rakyat dan kehadirannya dibantah oleh beberapa ahli Parlimen.

Presiden Star itu bagaimanapun meninggalkan dewan selepas 10 minit tanpa menjawab persoalan yang dibangkitkan mengenai statusnya.

Timbalan Speaker Azalina Othman Said yang ketika itu mempengerusikan persidangan berkata akan menyemak kedudukan Kitingan dengan setiausaha Dewan Rakyat.

Azhar yang mempengerusikan majlis berikutnya berkata Kitingan diberi pelepasan oleh pejabat kesihatan di Lembah Pantai, selepas menjalani kuarantin antara 12 hingga 23 November. – 24 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen