Putrajaya sambung khidmat Arul Kanda di 1MDB


The Malaysian Insight

Beberapa sumber mengatakan Arul Kanda akan kekal sebagai presiden dan ketua pegawai 1MDB bagi memastikan kelancaran dana itu menjelang PRU14. Beliau sebelum ini disebut-sebut antara calon yang akan menggantikan Azman Mokhtar untuk menerajui Khazanah Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2017.

ARUL Kanda Kandasamy akan kekal sebagai presiden dan ketua pegawai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga ke satu tarikh yang ditentukan kelak, ketika syarikat dana pelaburan negara yang diselubungi skandal itu kini melupuskan semua asetnya, kata beberapa sumber kepada The Malaysian Insight.

Beliau sepatutnya tamat tempoh jawatannya pada 31 Disember ini, selepas dilantik sejak Januari 2015 dengan mandat memulihkan syarikat pelaburan yang dituduh terlibat dengan penggelapan wang haram oleh Jabatan Kehakiman Negara (DoJ) Amerika Syarikat serta pihak berkuasa di Singapura dan Switzerland.

The Malaysian Insight difahamkan Putrajaya memutuskan untuk mengekalkan Arul Kanda sebagai teraju 1MDB bagi memastikan kelancarkan operasi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang perlu diadakan sebelum Ogos 2018.

Sebelum jawatannya di 1MDB, Arul Kanda merupakan naib presiden eksekutif dan ketua pelaburan Abu Dhabi Commercial Bank PJSC yang disertainya pada 2008. Beliau sebelum itu berkhidmat di Barclays Capital and Credit Agricole. 

Peguam lulusan United Kingdom itu juga pernah berkhidmat sebagai pengarah bukan eksekutif tidak bebas di beberapa buah syarikat dalam kumpulan bank RHB Capital Berhad antara Julai 2009 hingga 10 Mei 2011.

Pegawai bank yang menimba pengalaman di London dan Dubai itu pernah disebut-sebut calon pengganti Azman Mokhtar sebagai pengarah urusan syarikat dana berdaulat negara Khazanah Nasional Berhad.

Bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) itu dikatakan mendapat dukungan menteri-menteri ekonomi Malaysia dan pemimpin kanan Umno untuk jadi timbalan pengarah urusan Khazanah. Syarikat itu bagaimanapun baru-baru ini melantik dua pegawai dari dalam untuk jawatan timbalan itu.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib Razak merupakan pengerusi Khazanah dan pernah mempengerusikan lembaga penasihat 1MDB sehingga tempat itu diambil alih oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Irwan Siregar baru-baru ini.

Irwan mengendalikan operasi 1MDB selepas Kementerian Kewangan mengambil alih aset syarikat pelaburan itu yang sedikit demi sedikit dijual untuk melangsaikan hutang yang pada suatu ketika mencecah RM42 bilion.

Perdana Menteri Najib Razak pernah mempengerusikan Lembaga Pengarah 1MDB sebelum berundur dan diambil alih oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Irwan Siregar. Dana pelaburan negara itu terpalit skandal kleptokrasi yang dianggap Amerika Syarikat terbesar pernah berlaku di dunia setakat ini.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2017.

1MDB dijadual melunaskan ansuran terakhir berjumlah AS$602.73 juta kepada syarikat pelaburan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) sebelum 31 Disember ini bagi melengkapkan pembayaran AS$1.205 bilion yang dipersetujui pada April lepas.

Walaupun Putrajaya mempertahankan bahawa tiada wang yang hilang dalam skandal 1MDB, peguam negara Amerika dua minggu lalu berkata pihaknya “sudah menahan” sejumlah aset bernilai AS$3.5 bilion (RM14.1 bilion) daripada dana pelaburan negara itu.

“Misalnya, hampir separuh daripada hasil penyelewengan AS$3.5 bilion yang kami sita ada kaitan dengan hanya satu tindakan penguatkuasaan.

“Tindakan itu ada kaitan dengan dana berdaulat Malaysia yang dikenali sebagai  1MDB. 1MDB ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia untuk menggalakkan pembangunan ekonomi jangka panjang bagi manfaat rakyat Malaysia,” kata Peguam Negara Amerika, Jeff Sessions di Global Forum on Asset Recovery pada 4 Disember lepas.

Sessions menyifatkan skandal 1MDB sebagai “kleptokrasi paling buruk” dan berkata lebih daripada AS$4.5 bilion dana itu telah digelapkan melalui pelbagai urus niaga rumit menggunakan syarikat rahsia dari Switzerland dan Singapura ke Luxembourg dan Amerika Syarikat.

“Namun pegawai yang rasuah dan konco-konconya dilaporkan menggunakan dana itu untuk berbelanja mewah: AS$200 juta untuk hartanah di Southern California dan New York; AS$130 juta untuk karya seni; dan AS$100 juta untuk syarikat muzik Amerika, tidak termasuk kapal layar berharga AS$265 juta.” – 21 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • mestilah kena sambung,xde sapa2 yg sanggup buat kerja kencing ni

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan