Perikatan yakin Belanjawan 2021 lulus


Chan Kok Leong Diyana Ibrahim

Khamis ini, wakil rakyat akan mengundi untuk menyokong atau tidak Belanjawan 2021 kerajaan Perikatan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2020.

PUTRAJAYA yakin jumlah ahli Parlimen yang akan menyokong belanjawan pertama Perikatan Nasional mencukupi, kata Mohd Redzuan Md Yusof.

“Jika anda tengok jumlah orang yang munasabah, kami ada cukup (sokongan). Saya tak boleh kata dengan pasti hari ini yang kami ada 120 atau 125 tetapi secara puratanya saya nampak cukup orang yang munasabah yang faham apa yang kerajaan sedang buat dan akan sokong kami.

“Saya tak bimbang,” kata menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Apabila ditanya sama ada belanjawan itu adalah bipartisan atau “perpaduan”, Redzuan menjawab: “Tak, ia akan jadi Belanjawan Perikatan Nasional”.

Redzuan bagaimanapun tidak menjelaskan maksudnya menyebut “120 atau 125” sokongan belanjawan kerajaan sedangkan PN hanya mempunyai sokongan 112 orang ahli Parlimen selepas kematian Ahli Parlimen Gerik Hasbullah Osman, minggu lepas.

Ahli Parlimen Alor Gajah itu juga berkata tumpuan belanjawan PN adalah kebajikan rakyat.

“Saya mahu nasihatkan semua ahli Parlimen untuk ketepikan perbezaan politik mereka dan tengok apa yang kami cuba capai.

“Kita tak boleh tambah baik belanjawan jika ia tidak perlu,” kata pemimpin Bersatu itu lagi.

Khamis ini, PN akan berdepan ujian getirnya apabila sesi pengundian belanjawan akan dibuat pada bacaan kali kedua dasar.

Pembangkang termasuk Pakatan Harapan (109) dan Warisan (9) sudah menyatakan pendirian tidak akan menyokong belanjawan selagi Putrajaya tidak membatalkan peruntukan RM85 juta untuk unit propaganda Jasa, memudahkan pengeluaran caruman KWSP dan melanjutkan moratorium pinjaman selama enam bulan lagi.

Bagi blok kerajaan pula, semua wakil rakyat daripada PAS (18), Bersatu (31) dan GPS (18) sudah memberi petunjuk akan menyokong belanjawan, tetapi beberapa kumpulan wakil rakyat Barisan Nasional (42) termasuklah Najib Razak memberikan sokongan bersyarat.

Najib berkata sokongan BN bergantung kepada isu Putrajaya memudahkan pengeluaran caruman KWSP dan pelanjutan moratorium pinjaman. – 23 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen