GARIS panduan baharu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang melarang penjualan arak di kedai runcit mendapat bantahan keras peniaga.
Arahan yang berkuatkuasa 1 Oktober tahun depan itu tidak perlu, dan hanya akan lebih merugikan perniagaan yang sudahpun terjejas akibat pandemik Covid-19, kata mereka.
Garis panduan baharu tersebut melarang kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat tradisional Cina tidak lagi dibenarkan menjual minuman keras. Pengecualian diberi kepada produk minuman keras bagi tujuan ubatan tradisional.
Bir bagaimanapun boleh dijual tetapi terhad dari jam 7 pagi hingga 9 malam.
Rama, 60, pemilik Sona Mini Mart, berkata garis panduan berkenaan akan menambah beban kewangan peniaga dan menjejaskan ekonomi negara.
“Perniagaan sekarang teruk kerana Covid-19, kemudian DBKL keluarkan garis panduan baru. Ini tak akan membantu kami.
“Kalau arahan ini diteruskan juga, bukan perniagaan saja yang akan terkesan tetapi juga ekonomi negara, sebab kami mungkin kena kurangkan pekerja atau paling teruk terpaksa tutup kedai.
“Mereka (DBKL) perlu ingat, jualan alkohol menyumbang kepada pendapatan cukai negara dan jumlahnya besar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Rama turut mempersoalkan mengapa DBKL melarang jualan minuman keras tetapi tidak rokok, yang menurutnya lebih banyak mendatangkan keburukan.
“Memang alkohol boleh menjejaskan kesihatan, tetapi rokok lebih teruk. Kalau minum arak boleh membahayakan orang lain, rokok juga memberi kesan kepada bukan perokok.
“Jadi, adakah DBKL akan larang kami jual rokok juga?
“Kalau dibandingkan jumlah orang yang minum arak dengan perokok, mereka (perokok) lebih ramai,” jelas Rama yang sudah lebih 10 tahun berniaga.

Bagi Raju, 52, peniaga kedai runcit di Kuala Lumpur, berkata beliau setuju dengan beberapa garis panduan yang disenaraikan oleh DBKL, namun membantah had masa jualan arak.
“Saya tiada masalah asingkan bir, tak boleh jual arak berdekatan sekolah dan rumah ibadat. Tetapi kenapa hadkan masa jualan bir? Sekarang pun kami tutp kedai awal disebabkan Covid-19, dan DBKL sedang cuba hendak kekalkan.
“Kebanyakan pelanggan saya hanya minum arak sekali-sekala, ada masanya mereka akan beli beberapa tin bir selepas habis kerja. Saya tak boleh buka kedai 24 jam, jadi dengan arahan baharu ini, macam mana mereka hendak beli? Ini akan merugikan perniagaan,” katanya.
KL bukan Kelantan
Seorang lagi peniaga kedai runcit, yang hanya mahu dikenali sebagai Shan, 36, menyelar Kementerian Wilayah Persekutuan, yang disifatkan sama seperti Kelantan di bawah pentadbiran PAS.
Arahan larangan menjual arak dibuat selepas Annuar Musa dilantik sebagai menteri Wilayah Persekutuan, katanya.
“Inilah jadinya apabila kita ada menteri dari Kelantan. Sekarang larang arak, lama-kelamaan larang semua pula (semua jenis alkohol).
“Mungkin dapat nasihat sekutu dari PAS yang sekarang berada dalam kerajaan.
“Mereka perlu faham, ini bukan Kelantan, ini Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia. Semua arahan ini hanya menjadikan kita mundur,” kata Shan. Keluarganya mempunyai beberapa kedai runcit di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Tambah beliau, pihak berkuasa perlu berunding dengan semua pemain industri sebelum arahan dikeluarkan.
Bulan lalu Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali menggesa pengambilan arak dikawal dan judi diharamkan.
Beliau berkata langkah itu perlu memandangkan partinya PAS kini sudahpun menjadi sebahagian dari kerajaan.
Garis panduan baharu DBKL turut medapat bantahan DAP. Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai pada Selasa berkata peraturan baharu tersebut melanggar hak orang bukan Islam yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Cheras itu juga berkata arahan DBKL “antiperniagaan” serta menganiaya peniaga yang mematuhi undang-undang dan membayar cukai kepada kerajaan.
Mulai 15 Disember ini pengeluaran, penjualan dan penggunaan samsu juga akan diharamkan di Kuala Lumpur.
Semua peniaga kedai runcit yang ditemubual The Malaysian Insight setuju dengan larangan tersebut, kerana pengambilannya membahayakan kesihatan.
Samsu digemari pekerja asing, tetapi kini mereka belaih kepada bir, kata peniaga.
Pada 2018 seramai 20 orang dilaporkan maut akibat keracunan alkohol. Mangsa dilaporkan minum alkohol tercemar dengan metanol. – 21 November, 2020.
Komen