Khairuddin mahu PAS haram judi, kawal minum arak


Zaim Ibrahim

Ahli Parlimen PAS Khairuddin Aman Razali muncul dengan tuntutan baharu, mahu mengawal arak dan mengharamkan judi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2020.

SELEPAS beberapa minggu tidak tampil di media ekoran siasatan pihak berkuasa ke atasnya, Ahli Parlimen PAS Khairuddin Aman Razali muncul dengan tuntutan baharu.

Beliau tampil dengan gesaan agar PAS mengawal pengambilan arak dan mengharamkan judi memandangkan parti itu kini sudahpun menjadi sebahagian dari kerajaan.

Ahli jawatankuasa PAS itu berkata demikian dalam satu program bual bicara disiarkan satu laman Facebook, TV Pertiwi pada malam tadi.

Menteri perladangan dan komoditi dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin itu berkata, judi perlu diharamkan kerana ditegah oleh kesemua agama dan memudaratkan manusia.

“Tidak ada manusia yang berakal, yang cintakan akhlak, cintakan kedamaian, yang suka (permainan judi).

“Kerana judi diketahui timbulkan pergaduhan pertembungan, maka akhir sekali judi mesti diharamkan. Itu realiti yang dunia kena terima,” kata beliau dalam program itu.

Langkah itu berbeza dengan tindakan mengawal pengambilan arak kerana kegiatan itu dibenarkan oleh sesetengah agama.

“Itu kena beza. Arak sebahagian agama benarkan dan kita akan bagi hak kepada mereka tapi judi tiada agama benarkan.

“Ini satu penipuan dan manipulasi terhadap kelemahan manusia mengurus wang,” kata beliau.

Jelasnya, aktiviti penjualan arak perlu dibincangkan semula untuk mengelakkannya dibeli oleh orang Islam dan menyebabkan pemanduan bawah pengaruh alkohol.

Beliau berkata, Malaysia boleh mencontohi Singapira yang tetap menguatkuasa kawalan keras terhadap pengambilan arak walau diketuai pemimpin bukan Islam.

“Sebagai contoh kita lihat Singapura dipimpin oleh bukan Islam tapi mereka mengharamkan arak dijual secara berleluasa kerana mereka melihat arak sesuatu memudaratkanm” katanya.

Jelasnya, PAS juga akan tetap membenarkan arak dijual tetapi secara terkawal dan perlu dibincangkan.

“Jika arak memudaratkan ia perlu diharamkan untuk dijual di peringkat awam. Adapun hak ikut agama masing-masing minum arak itu hak mereka, kita akan benarkan kerana itu hak yang diberikan Allah kepada agama lain.

“Pertama arak kita benarkan kepada yang bukan Islam cuma bagaimana cara penjualan mesti kita kena bincang. Jual secara terbuka berleluasa hingga orang Islam beli, orang pandu kereta hingga mabuk, itu memudaratkan,” jelasnya.

Isu arak itu dibangkitkannya sewaktu mengulas mengenai agenda Islam PAS yang ingin dibawa selepas tujuh bulan menganggotai kerajaan Perikatan Nasional.

Pendirian pemimpin parti itu ke atas arak merupakan antara isu yang menyebabkan parti tersebut tidak mendapat sambutan di kalangan pengundi bukan Islam.

Penentangan ke atas PAS dalam isu tersebut meledak ketika ia dibangkitkan seorang lagi ahli Parlimen parti tersebut bulan lalu, sebelum pilihan raya negeri Sabah berlangsung.

Pada waktu itu, Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh dalam satu sidang Dewan Rakyat mendakwa kitab Injil mengandungi kesilapan kerana membenarkan minum arak.

Kenyataan menimbulkan kritikan meluas kumpulan bukan Islam dan pemimpin agama di Sabah yang mencabar parti berkenaan untuk menyertai pilihan raya negeri 26 September.

PAS tidak menyertai pilihan raya tersebut namun seorang pemimpinnya tetap terpilih menjadi Adun  dilantik dalam DUN Sabah selepas itu.

Pada masa sama, Khairuddin kini menjadi tumpuan kerana masih belum dihadapkan ke mahkamah bagi kes melanggar perintah kuarantin wajib sejak kembali dari Iran pada Julai.

Kes Khairuddin merupakan antara isu yang kini menekan pentadbiran Muhyiddin Yassin walau perdana menteri itu menekankan tiada pilih kasih bagi kes seperti itu.

Kemarahan ke atas Khairuddin dikesan meluas, di media sosial apabila beberapa individu dari kalangan orang awam dihadapkan ke mahkamah bagi dakwaan untuk kes serupa. – 11 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen