MALAYSIA nampaknya sudah kalah dalam perang melawan wabak Covid-19, kata veteran DAP Lim Kit Siang.
Menyebut mengenai kenaikan mendadak dalam kes jangkitan harian, ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata Malaysia mungkin mengatasi Singapura dalam masa seminggu dan China pada akhir tahun ini sebagai negara dengan lebih banyak jangkitan Covid-19 jika kes harian terus mencatatkan angka empat digit.
“Malaysia sudah membuat kemajuan yang cukup besar tetapi dengan munculnya gelombang ketiga pandemik, kita sudah ketinggalan dan kalah dari beberapa negara lain dan kini berada di tangga 84 di antara negara di dunia dengan 51,680.
“Sekiranya kita berterusan setiap hari dengan angka empat digit jangkitan Covid-19, kita akan mengatasi Singapura dalam seminggu dan China pada akhir tahun sebagai negara dengan lebih banyak jangkitan Covid-19.
“Adakah kita sudah kalah dalam berdepan gelombang ketiga pandemik Covid-19?,” soal Lim.
Lim berkata beliau telah menyarankan kerajaan menerapkan pendekatan “semua-kerajaan” dan “seluruh masyarakat” dalam perang yang tidak dapat dilihat terhadap Covid-19.
Lim kemudian menuduh kerajaan Perikatan Nasional hanya berminat menggunakan wabak Covid-19 untuk meyakinkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia dan menggantung Parlimen.
“Saya menyarankan lebih enam bulan lalu bahawa kerajaan perlu menggunakan pendekatan ‘semua kerajaan’ dan ‘seluruh masyarakat’ tetapi nasihat itu tidak didengari.
“Putrajaya hanya berminat dengan darurat dan menggantung Parlimen,” katanya. – 20 November, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen