ANGGOTA polis berpakaian biasa tidak ditugaskan mengawal Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight bahawa hanya pegawai beruniform dikerahkan untuk melaksanakan tugas penguatkuasaan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP.
Dalam kes di mana pegawai tanpa pakai seragam terlibat, mereka mesti memakai vest polis bagi menunjukkan mereka adalah polis, tambahnya.
“Semua tugas penguatkuasaan di lapangan dilakukan oleh pasukan pegawai beruniform. Itu arahan tetap.
“Hanya dalam kes tertentu ketika detektif perlu bertugas, mereka dibenarkan memakai vest polis,” katanya.
Bagaimanapun Abdul Hamid tidak menjelaskan secara khusus kes berkenaan.
Beliau menjawab pertanyaan selepas beberapa dakwaan timbul baru-baru ini berkenaan denda oleh polis berpakaian biasa kerana melanggar SOP seperti tidak memakai topeng muka atau melakukan perjalanan dengan penumpang melebihi dari yang dibenarkan.
Pemilik bengkel perniagaan membaiki kereta Melissa Yap di Taman Segar, Cheras baru-baru ini mendakwa bahawa beberapa anggota polis berpakaian biasa telah mengenakan denda kepada salah seorang pelanggannya kerana menanggalkan topeng untuk sementara waktu.
Pelanggan berkenaan seorang lelaki berusia 60 tahun datang untuk mengganti tayar kereta dan sementara menunggu di dalam bengkel yang panas dan sesak, dia menanggalkan topeng muka untuk seketika.
Pelanggan itu telah mengikuti SOP lain termasuk mengimbas masuk menggunakan aplikasi MySejahtera.
“Tidak sampai lima minit, beberapa anggota polis berpakaian biasa masuk dan meminta kad pengenalan kemudian mengenakan denda kepadanya,” katanya ketika menjelaskan kejadian pada 27 Oktober lalu.
Pelanggan itu masih memegang topeng mukanya di tangan pada masa itu dan jelas dia baru sahaja menanggalkannya.
“Polis sepatutnya menasihatinya untuk mengenakan topeng kembali dan tidak segera mengeluarkan denda,” katanya.
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng juga mempunyai kes sama di kawasannya di mana seorang wanita didenda ketika mengeluarkan wang di sebuah bank.
“Wanita itu mendekati polis di pintu masuk dan bertanya adakah dia boleh masuk dan polis menjawab ya.
“Ketika dia keluar dari bank, wanita itu menerima surat saman kerana tidak mendaftar masuk sebelum memasuki bank.
“Wanita itu menangis ketika menelefon pejabat kami. Dia merasakan pegawai polis sengaja menduganya,” katanya.
Lim berkata pusat khidmatnya menerima lebih 50 aduan daripada orang ramai dalam tempoh dua hari baru-baru ini.
Seorang lelaki yang baru sahaja menyelesaikan proses mendaftar masuk sebelum memasuki premis. Dia juga memakai topeng.
“Dua polis berpakaian biasa datang dan memberitahu mereka mempunyai gambar lelaki itu tidak memakai topeng muka menutupi lubang hidungnya.
“Lelaki itu merasakan sudah mematuhi segala SOP dan berkeras mahu melihat gambar berkenaan. Namun polis menolak dan menyatakan lelaki itu boleh memberi mereka rasuah untuk dibebaskan,” katanya.
Lim berkata lelaki itu tetap berkeras dan dikenakan denda RM1,000. – 21 November, 2020.
Komen