Polis patut guna budi bicara sebelum saman Covid-19, kata wakil rakyat


Angie Tan

Polis dalam menguatkuasakan undang-undang diharap dapat guna budi bicara ketika mengeluarkan denda Covid-19, supaya tidak menambah beban rakyat, kata wakil rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2020.

POLIS sepatutnya lebih empati dan menggunakan budi bicara ketika perlu menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19, kata wakil rakyat Kuala Lumpur.

Mereka berkata walaupun motto Polis Diraja Malaysia (PDRM) ialah “Polis dan Masyarakat, Berpisah Tiada”, sesetengah pegawai mungkin perlu menjalani latihan berkenaan empati dan budi bicara.

Aduan diterima ahli Parlimen dari kawasan masing-masing menunjukkan sesetengah pegawai polis tidak peduli langsung untuk mengetahui keadaan sebenar atau sebab mengapa seseorang individu itu tidak memakai topeng pelitup muka pada masa itu.

Sebaliknya, mereka kelihatan “gembira” untuk mengeluarkan denda RM1,000, hingga menambah beban bagi individu yang sudah sedia susah.

Denda itu boleh dikenakan jika seseorang melanggar mana-mana SOP, iaitu termasuk memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan sosial, merekodkan butiran peribadi sebelum masuk ke kedai, atau mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera.

Pemilik kedai membaiki kereta Melissa Yap Yuet Soon di Taman Segar, Cheras, berkata ada satu insiden berlaku pada 27 Oktober membabitkan seorang pelanggan.

Seorang lelaki berusia 60 tahun datang untuk mengganti tayar dan ketika menunggu di bengkelnya yang panas dan sesak, beliau membuka pelitup mukanya sekejap. Sebelum itu beliau patuh semua SOP, termasuk imbasan masuk ke dalam kedai menggunakan MySejahtera.

“Kurang lima minit, beberapa anggota polis berpakaian biasa masuk, minta kad pengenalan dan kemudian keluarkan denda kepada pelanggan itu,” kata Yap.

Pelanggan itu masih memegang pelitup mukanya pada masa itu dan sudah jelas beliau baru saja membukanya.

“Polis itu patutnya nasihat dia pakai semula pelitup muka, bukannya terus saja denda, tanpa tanya apa-apa soalan.

“Bengkel ini panas dan sesak, kadang-kala kami juga buka pelitup muka sekejap untuk ambil udara, apatah lagi pelanggan yang dalam keadaan tidak selesa.”

Yap berkata beliau merayu kepada pegawai polis itu bagi pihak pelanggannya, tetapi tidak diendahkan. Malah, sebagai pemilik kedai, beliau juga didenda.

“Pegawai itu kata kami sepatutnya jelas tentang peraturan.

“Pelanggan itu akhirnya minta kami pasang semula tayar lamanya. Dia minta maaf sebab tidak ada duit untuk ganti tayar selepas dikenakan denda.”

Yap berkata perniagaannya sudah sedia terjejas akibat perintah kawalan pergerakan, dan sekarang terpaksa membayar denda pula.

“Menambah beban, dan saya rasa tidak adil kerana pegawai polis itu langsung tidak mahu cuba memahami keadaan itu,” katanya.

Mengulas insiden itu, Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai berkata walaupun pegawai terbabit menguatkuasakan undang-undang mengikut tugas, mereka kurang empati.

“Walaupun memang tanggungjawab masyarakat untuk patuh SOP, pegawai pengatkuasa mungkin juga perlu tahu terlebih dulu kenapa keadaan itu berlaku sebelum bertindak.

“Memang pegawai itu tidak salah dari segi undang-undang, tetapi mereka sepatutnya berurusan dengan masyarakat dalam keadaan lebih baik. Nilai dulu keadaan dan persekitaran.

“Pada masa sama, ada juga cara untuk polis mendidik masyarakat,” kata Tan.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng juga menerima aduan daripada penduduk di kawasannya, iaitu seorang wanita yang didenda ketika keluar duit dari bank.

“Wanita itu bertanya kepada polis yang ada di depan pintu bank dan tanya sama ada beliau boleh masuk atau tidak, polis itu kemudian menjawab boleh.

“Bila wanita itu keluar dari bank, beliau didenda kerana tidak melakukan imbasan pendaftaran sebelum masuk ke dalam.

“Wanita itu menangis ketika menghubungi pusat khidmat kami. Dia berasakan pegawai polis itu sengaja mengujinya.”

Lim berkata pusat khidmatnya menerima lebih 50 aduan awam dalam tempoh dua hari baru-baru ini.

Salah satunya membabitkan seorang pemuda yang baru saja selesai prosedur pendaftaran sebelum masuk ke sebuah premis. Beliau memakai pelitup muka.

“Dua pegawai polis berpakaian biasa mendekatinya dan memperkenalkan diri. Mereka kata mereka ada gambar beliau pakai pelitup muka tidak tutup hidung.

“Pemuda itu rasa beliau sudah patuh semua SOP dan bertegas mahu melihat gambar itu. Namun, polis berkenaan tidak beri,” katanya.

Lim berkata pemuda itu mempertahankan dirinya tetapi tetap akhirnya dikenakan denda RM1,000. – 5 November, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen