Anwar perlu sekurang-kurangnya 10 minggu untuk pulih dari pembedahan


Noel Achariam

Keluarga mahu Anwar berada di pusat pemulihan kerana pergerakannya akan terjejas teruk jika kembali ke penjara, kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Disember, 2017.

ANWAR Ibrahim yang kini dipenjarakan dan telah menjalani pembedahan pada sendi bahu kanannya November lalu, memerlukan sekurang-kurangnya 10 minggu untuk pulih.

Menurut anak perempuannya, yang juga Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, pembedahan terbabit jauh lebih rumit daripada pembedahan yang dijalani Anwar pada 2004.

“Kualiti hidup yang dia terima ketika di penjara akan memberi kesan kepada pergerakannya… tangan kanannya tidak dapat digunakan sepenuhnya,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu pada satu majlis untuk meraikan pelajar cemerlang UPSR dan PT3 di kawasannya hari ini.

“Ada banyak larangan untuk tahanan politik dan sentiasa ada pengawal selama 24 jam sehari.”

Pada 12 November Anwar menjalani pembedahan bagi kecederaan yang dialaminya semasa kemalangan kereta melibatkan kenderaan Jabatan Penjara pada September.

Selepas pembedahan itu, Perdana Menteri Najib Razak dan Timbalan Menteri Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Aziz melawat Anwar. Lawatan itu diselar pengguna media sosial.

Anwar kini dirawat di sebuah pusat pemulihan di Cheras, kata Nurul Izzah.

“Lawatan kami terhad dan semua perbualan kami dipantau.

“Keluarga kami memang mahu dia berada di sana (pusat pemulihan), sebab pergerakannya akan terjejas teruk jika kembali ke penjara.”

Anwar kini menjalani hukuman penjara selama lima tahun atas sabitan pada Februari 2015 kerana meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan. – 20 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen