Dewan Rakyat perlu tolak darurat seluruh negara, kata Zahid Hamidi


Zaim Ibrahim Chan Kok Leong

Ahmad Zahid Hamidi berkata mandat politik harus dikembalikan kepada rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2020.

DEWAN Rakyat perlu menolak sebarang permintaan oleh Putrajaya untuk mengisytiharkan darurat di seluruh negara, kata Ahli Parlimen Bagan Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata, kerajaan tidak harus berusaha mengekalkan kuasa dengan cara itu, seperti yang cuba dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong pada bulan lalu perlu.

Dewan Rakyat perlu menolaknya kerana Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu turut menolak permintaan itu, katanya.

“Proklamasi darurat bukan pilihan malah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu juga tolak, apatah lagi cubaan proklamasi darurat (seluruh negara) wajib ditolak Dewan yang mulia ini.

“Rakyat hanya terima proklamasi darurat setempat seperti di Batu Sapi, yang baru diumumkan,” kata Zahid ketika menyampaikan perbahasan di Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkempen agar semua ahli Dewan menyokong usaha membentuk kerajaan dengan pilihan raya, tetapi dengan mengutamakan kepentingan rakyat.

“Secara ideal keterlibatan rakyat hendaklah diutamakan, hendaklah kembali pada rakyat. Dari rakyat (kita) diberi mandat kepada rakyat kita serahkan.

“Dalam perkara ini, kita ketepikan perbezaan sini atau sana. Demi rakyat demi dewan mulia kita satu hati untuk lihat mandat rakyat diberi, mandat rakyat, mandat keramat,” kata beliau.

Beliau juga menggesa agar kerajaan segera mengemukakan usul menyokong perdana menteri di Dewan Rakyat bagi membuktikan pentadbiran stabil.

Istana Negara semalam mengumumkan Yang di-Pertuan Agong memperkenan permohonan kerajaan mengisytihar darurat di Batu Sapi bagi menghalang pilihan raya kecil diadakan.

Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah berpuas hati dengan ancaman bencana sekiranya pilihan raya tersebut dijalankan pada 5 Disember mengikut ketetapan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pula seterusnya semalam mengumumkan, proses demokrasi itu boleh diadakan pada satu tarikh yang akan ditentukan semula.

Cadangan asal untuk mengisytihar darurat di seluruh negara dikemukakan kerajaan Muhyiddin tiga minggu lalu, dengan alasan menangani pandemik Covid-19.

Pembangkang pada waktu itu mendakwa usaha Muhyiddin tersebut hanya satu helah untuk terus mengekalkan kuasa memandangkan kerajaan Perikatan Nasional berdepan krisis.

Raja-Raja Melayu pula menyuarakan kebimbangan berlaku salah guna kuasa jika darurat diisytihar seluruh negara.

Al-Sultan Abdullah tidak memperkenan permohonan tersebut kerana berpendapat kerajaan sudahpun berupaya menangani pandemik dengan baik.

Baginda juga menitahkan semua ahli politik segera berhenti bermain politik dan bekerjasama membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik. – 19 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen