AHLI Parlimen Kepong Lim Lip Eng hari ini dihalau dan digantung dari Dewan Rakyat selama lima hari kerana bersikap degil dan biadap terhadap institusi Yang di-Pertua.
Lim dikenakan tindakan selepas menggelar Timbalan Speaker Azalina Othman Said “bodoh” kerana tidak mengarahkan Tiong King Sing (Bintulu-GPS) menarik balik kenyataannya semalam yang memperlekehkan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Kekecohan bermula apabila ahli Parlimen pembangkang mendesak Azhar mengarahkan Tiong menarik balik kenyataannya semalam yang mengatakan Noor Hisham “takut mati”.
Azhar menjelaskan beliau tidak boleh membuat arahan itu kerana timbalannya semalam sudah membuat keputusan mengenainya dan beliau terikat dengan keputusan itu sehingga ada usul dikemukakan untuk memindanya.
“Tetapi itu keputusan yang bodoh dan jahat!” kata Lim, ahli Parlimen daripada DAP, mencelah.
“Macam mana kamu boleh kata keputusan speaker bodoh,” tanya Azhar, meninggikan suaranya.
Beberapa ahli Parlimen lain lalu mendesak Lim menarik balik kenyataan, namun beliau enggan.
“Macam mana speaker boleh bersekongkol dengan Bintulu?” tambah Lim.
Azhar kemudian mengarahkan Lim keluar dari dewan dan digantung selama lima hari.
Lim yang didekati oleh bentara bagaimana enggan berganjak dari tempatnya, memaksa Azhar mengugut memanggil polis.
“Saya panggil polis… kamu keluar sekarang… saya panggil polis,” jerit Azhar.
“Kamu melampau,” tambahnya.
Lim yang tetap tidak berganjak mencelah dan bertanya, siapa yang sebenarnya melampau: Azhar atau Tiong.
Kekecohan ini menyebabkan giliran Dr Mahathir Mohamad (Langkawi-Bebas) membahaskan Belanjawan 2021 tertangguh lebih kurang 25 minit.
Semalam, Azalina mengarahkan RSN Nayer (Jelutong-PH) juga dari DAP keluar dari dewan ketika cuba mempertahankan Noor Hisham yang dikecam oleh Tiong.
Tiong menuduh ketua pengarah itu gagal memberi semangat kepada petugas barisan hadapan di Sabah.
Tiong dalam ucapannya mendakwa “Ketua pengarah kesihatan takut mati” kerana tidak pernah melawat kawasan wabak yang terjejas teruk akibat Covid-19 di Sabah.
Noor Hisham dalam reaksinya semalam berkata tidak timbul isu beliau tidak takut mati kerana sebagai orang Islam beliau yakin kematian berlaku di mana-mana dan tidak tentu masa.
Sementara itu, Lim Guan Eng dalam sidang media di lobi Parlimen berkata ahli Parlimen pembangkang tidak tunduk dan akan terus menyokong usaha Lim membantah keputusan speaker tidak menegur Bintulu.
Beliau berkata satu usul akan dibawa oleh Rayer meminta Speaker mengkaji semula arahan semalam di Dewan Rakyat.
“Speaker kena akui itu satu kesilapan. Perintah harus dikaji semula dan YB Bintulu harus tarik balik dan minta maaf,” katanya. – 12 November, 2020.
Komen