Tidak timbul isu takut mati, kata Dr Noor Hisham


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebagai umat Islam perlu terima kematian di mana-mana sahaja.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2020.

KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini berkata beliau tidak takut dengan kematian dan menerimanya bila dan di mana sahaja ia berlaku.

“Kita sebagai orang Islam, kita terima kematian di mana-mana sahaja akan berlaku, bukan hanya turun padang ataupun tidak,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kritikan Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing terhadapnya di Parlimen hari ini.

Tiong menyindir Dr Noor Hisham sebagai “takut mati” kerana tidak pergi ke Sabah untuk menilai keadaan Covid-19 di negeri berkenaan.

“Ketua pengarah tiap-tiap hari buat berita saja, bikin apa, ‘office boy’ pun boleh baca. Kenapa dia tak turun padang, macam di Kota Kinabalu sekarang begitu teruk. Kenapa tak turun lawat tiap-tiap hospital.

“Jangan hantar saja (barisan depan), oh orang itu tak takut mati, tapi KP takut mati.. timbalan pun tak pergi.

“Tak usahlah hari-hari buat publisiti, sekarang dengar beliau nak jadi setiausaha WHO, memang tak layak,” katanya merujuk kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Menjawab kritikan itu, Dr Noor Hisham berkata beliau telah turun padang dan melawat Sabah hujung bulan Ogos dan timbalannya Dr Chong Chee Keong serta penasihat khas perdana menteri berhubung kesihatan awam Dr Jemilah Mahmood turut melawat negeri itu bagi menilai situasi Covid-19.

“Saya sendiri telah turun pada pada pengakhiran bulan Ogos dan melihat pada pengurusan iaitu kesiapsiagaan kita untuk melihat kepada pilihan raya negeri Sabah.

“Dan saya juga telah arahkan timbalan saya Dr Ching Chee Keong untuk turun bersama pada minggu lepas dan Dr Jemilah juga turut bersama dua minggu lepas untuk melihat kepada tindakan pengurusan Covid-19,” katanya.

Pilihan raya negeri Sabah berlangsung pada 26 September.

Dr Noor Hisham berkata walaupun terdapat perbezaan pendapat mengenai beberapa isu, matlamat utamanya adalah untuk memecahkan rantaian jangkitan Covid-19.

“Kita boleh berselisih pendapat tetapi apa yang pasti apa yang kita laksanakan ialah untuk memutuskan jangkitan Covid-19 supaya kita dapat selamatkan negara kita daripada peningkatan kes Covid-19 dan juga kadar kematian,” katanya. – 11 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen