MAHKAMAH Persekutuan menetapkan 8 Disember untuk mendengar permohonan kebenaran merayu oleh 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Yang Dipertua Negeri Sabah pada Julai lepas.
Kesemua Adun itu telah mengemukakan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Yang Dipertua Negeri, bagaimanapun permohonan mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Mazuliana Abdul Rashid dalam suratnya telah memaklumkan kepada pihak-pihak dalam kes itu bahawa pendengaran permohonan kebenaran merayu itu akan dijalankan melalui sidang video.
Dalam surat bertarikh 27 Oktober tahun ini, beliau berkata pengurusan kes itu akan diadakan pada 17 November melalui e-Review.
Ia juga menyatakan bahawa pemohon yang tidak mahu meneruskan permohonan kebenaran merayu itu boleh memfailkan notis pemberhentian yang ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak.
Kesemua 33 Adun termasuk bekas ketua menteri Sabah Musa Aman, telah memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan pada 10 September terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 8 September yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Yang Dipertua Negeri.
Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan itu, pilihan raya negeri berlangsung pada 26 September lepas, yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang membentuk gabungan di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 38 kerusi manakala Warisan yang menjalin kerjasama dengan PKR dan Upko hanya memperoleh 32 kerusi.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai HakimAbdul Karim Jalil dalam keputusan sebulat suara memutuskan Yang Dipertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin telah melaksanakan bidang kuasanya dengan betul mengikut Perlembagaan Sabah dalam membubarkan DUN.
Hakim Abdul Karim berkata panel berpendapat tiada kekhilafan dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Leonard David Shim semasa beliau memutuskan kes itu tidak boleh diadili (bermaksud tidak boleh dibicarakan di mahkamah) dan dengan itu tidak terbuka untuk semakan kehakiman.
Mahkamah Tinggi semasa menolak permohonan 33 Adun berkenaan pada 17 Ogos, memutuskan bekas ketua menteri Sabah Mohd Shafie Apdal telah bertindak dalam ruang lingkup Perlembagaan Sabah semasa memohon Tun Juhar membubarkan DUN dan berkata pengisytiharan untuk membubarkan DUN adalah mengikut perlembagaan dan sah.
Kesemua 33 wakil rakyat itu mendakwa pada 29 Julai bahawa mereka mempunyai majoriti dalam DUN dan mahu Juhar membenarkan mereka mengangkat sumpah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu, sekali gus menggulingkan kerajaan negeri pimpinan Mohd Shafie. – Bernama, 11 November, 2020.
Komen