BARISAN Nasional (BN) tidak menyenaraikan Musa Aman sebagai calon Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan diadakan 26 September ini, kata Bung Moktar Radin.
“Saya tidak ada perbincangan mengenai itu (pulang ke Sungai Manila).
“Nama beliau juga tiada dalam senarai calon (Barisan Nasional) yang akan diumumkan esok (Khamis),” kata Bung Moktar dipetik Astro Awani hari ini.
Umno dan BN dijadual umum senarai nama calon bertanding dalam PRN Sabah esok.
Awal hari ini Musa menerusi posting di Facebook memberi bayangan beliau akan bertanding di kawasan DUN Sungai Manila yang baharu pada PRN Sabah.
“I’m going back to Sungai Manila (Saya akan kembali ke Sungai Manila),” tulis bekas ketua menteri Sabah itu hari ini.
DUN Sungai Manila salah satu antara 13 DUN baharu daripada keseluruhan 73 kerusi DUN yang akan dipertandingkan pada PRN Sabah.
Pada pilihan raya umum 2018 Musa mengekalkan DUN Sg Sibuga dengan majoriti 2,184 undi selepas menewaskan calon daripada Warisan dan Parti Kebangsaan Sabah (PKS).
Cubaan Musa pada Julai untuk menubuhkan kerajaan negeri selepas mendakwa mempunyai cukup sokongan gagal apabila Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal menasihati Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin membubarkan DUN Sabah.
Pembubaran itu sekaligus membuka laluan kepada pilihan raya negeri.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini bagi penamaan calon dan pengundian pada 26 September. – 9 September, 2020.
Komen