2 kumpulan Tingkatan 5 dan 6 tahun depan


Sesi persekolahan ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan bagi mengekang penyebaran Covid-9. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2020.  

TERDAPAT dua kumpulan pelajar Tingkatan Lima dan Enam apabila sekolah di seluruh negara dibuka bermula tahun depan, lapor The Star.

Pelajar yang sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini akan menyertai kumpulan pelajar pada Januari untuk bersiap sedia menghadapi peperiksaan akan datang, menurut laporan itu.

Kementerian Pendidikan bagaimanapun tidak bimbang mengenai kekurangan bilik darjah apabila pelajar Tingkatan Dua dan Tiga tahun depan akan meneruskan pembelajaran di rumah atau dalam talian sehingga Mac.

“Ini akan membolehkan guru merancang penggunaan bilik darjah dan kemudahan lain (untuk mengajar kedua-dua kumpulan pelajar tahun peperiksaan).

“Murid Tahun Satu hingga Tahun Enam dan pelajar Tingkatan Satu serta Empat untuk 2021 juga akan kembali pada 20 Januari,” kata Ketua Pengarah Pendidikan Dr Habibah Abdul Rahim dalam laporan berkenaan.

Habibah menambah bahawa dengan ketiadaan pelajar Tingakatan Dua dan Tiga secara fizikal akan memberi kelonggaran kepada pentadbir sekolah untuk membuat jadual pengajaran secara bersemuka bagi dua kumpulan pelajar Tingkatan Lima.

Habibah berkata guru perlu tinggal di stesen mereka dan boleh menggunakan kemudahan di sekolah untuk mengajar, jika perlu selepas mendapat kebenaran serta jadual daripada pengetua sekolah.

“Kami berharap para pelajar akan lebih bersedia dan bermotivasi untuk menduduki peperiksaan SPM mereka yang ditangguhkan sehingga Februari tahun depan,” katanya.

Peperiksaan SPM dan STPM Semester 1 serta Semester 3 yang kebiasaannya diadakan pada November dan Disember dianjak ke suku pertama tahun 2021 susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dikuatkuasakan.

Pada Ahad Menteri Pendidikan Dr Radzi Md Jidin berkata kementerian telah menangguhkan peperiksaan SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM), STPM dan peperiksaan utama sekolah lain yang sepatutnya berlangsung pada Januari tahun depan.

“Tarikh peperiksaan SPM, SVM dan STAM akan bermula pada 22 Februari 2021.

“Manakala peperiksaan STPM akan bermula pada 8 Mac 2021,” katanya pada sidang media Ahad lepas.

Ini kali kedua tarikh peperiksaan SPM peperiksaan dipinda susulan pandemik Covid-19. 

Peperiksaan itu asalnya dijadual pada 16 November hingga 7 Disember tetapi dipinda ke 6 Januari hingga 6 Februari tahun depan berikutan pandemik Covid-19.

Radzi berkata seramai 400,445 pelajar telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM bagi tahun 2020, peperiksaan STPM semester 1 atau 6 rendah (5,956) dan peperiksaan semester 3 atau 6 atas (47,008). – 11 November, 2020.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen