Tarikh peperiksaan utama dipinda lagi


Ravin Palanisamy

Ini kali kedua KPM meminda tarikh peperiksaan SPM susulan pandemik Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2020. 

PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan ditunda ke tahun hadapan, kata Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin.

“Mengambil kira situasi semasa KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) telah membuat keputusan untuk meminda tarikh peperiksaan SPM, SVM dan STAM akan bermula pada 22 Februari 2021.

“Manakala peperiksaan STPM akan bermula pada 8 Mac 2021,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Perincian tentang semua peperiksaan awam ini akan dimaklumkan dalam masa yang terdekat, tambah Radzi.

Ini kali kedua tarikh peperiksaan SPM peperiksaan dipinda susulan pandemik Covid-19. 

Peperiksaan itu asalnya dijadual pada 16 November hingga 7 Disember tetapi dipinda ke 6 Januari hingga 6 Februari tahun depan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac.

KPM juga katanya memutuskan calon-calon menyambung persekolahan secara bersemuka di sekolah masing-masing mulai 20 Januari tahun depan bagi membolehkan mereka membuat persediaan secukupnya sebelum menduduki peperiksaan.

Bagi peperiksaan percubaan SPM pula, semua kerja kursus dan pentaksiran yang dijadualkan pada Disember akan dipinda semula, dan akan dimaklumkan kemudian.

Menteri pendidikan berkata ketetapan ini juga terpakai untuk semua institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah KPM. Sekolah swasta juga disaran mengikut tarikh baharu ini, kata Radzi. – 8 November, 2020.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen