DALAM kelam kabut banjir di Pulau Pinang bulan lalu, yang terburuk dalam masa 30 tahun, seorang bilal muncul serta merta jadi wira apabila membuka pintu sebuah surau di Taman Free School sebagai tempat mangsa banjir menumpang teduh.
Bagaimanapun, tindakan Sapno Tukijo yang membenarkan orang bukan Islam berteduh di surau itu dicemuh orang-orang Islam lain.
Di media sosial, ada yang memuji tindakannya namun ada juga yang mencercanya kerana membiarkan orang bukan Islam yang berseluar pendek dan berlengeng duduk di dalam surau.
“Saya tak peduli cemuhan-cemuhan itu. Mereka yang mengkritik saya tak berada di tempat kejadian. Kalau mereka ada dekat sana, mereka pun akan ambil tindakan sama,” kata Sapno.
“Banjir ini teruk, lebih teruk daripada yang sebelum ini. Air naik pada pukul 2 pagi semasa orang tengah tidur,” katanya, mengingati semula kejadian ribut pada 4 dan 5 November.
“Saya akan buat perkara sama lagi kalau sekali lagi berlaku banjir,” Sapno memberitahu The Malaysian Insight.
Dihormati orang Kristian
Sopno adalah antara mereka yang dihormati pada majlis makan malam sempena Krismas anjuran pergerakan Christian for Peace and Harmony in Malaysia (CPHM) di G Hotel semalam.
Bilal surau Taman Free School itu tersentuh dengan penghormatan yang diberikan kerana baginya apa yang dilakukan adalah secara semulajadi.
“Saya rasa bersyukur. Kita semua adalah hamba Tuhan,” katanya.
Hikmah atas tindakan Sapno itu, dia telah diberikan taraf permastautin tetap yang sudah lama dimohon.
“Sudah 24 tahun saya tunggu. Saya baru dapatnya di pejabat imigresen di Putrajaya minggu lepas,” kata Sapno yang sudah 30 tahun tinggal di Malaysia.
Wira yang tidak didendang
Antara lain yang turut membantu membawa mangsa banjir ke surau itu ialah seorang pengurus hotel, Subri Hashim.
Subri yang juga tinggal di Taman Free School berkata, dia dalam perjalanan ke surau apabila seorang lelaki Cina meminta pertolongan.
“Saya di atas bot, dan nampak seorang lelaki Cina meminta tolong. Dia kata ada beberapa orang tua terperangkap dalam rumah di kejiranan belakang surau.
“Kami mendayung ke sana dan nampak ada beberapa orang beri isyarat menggunakan lampu suluh. Hampir setiap rumah ada orang tua. Ada yang sangat lemah, susah nak bergerak.
“Kami berulang-alik beberapa kali sebab bot hanya boleh bawa lima hingga enam orang pada satu-satu masa,” katanya kepada TMI.
Dengan ketinggian air sudah tiba di paras leher mereka, hanya surau dua tingkat itulah sahaja yang boleh dijadikan tempat perlindungan, kata Subri.
Masjid, surau terbuka kepada semua
Bendahari surau Taman Free School, Abd Nasir Salleh berkata surau itu menjadi tempat mangsa banjir berlindung selama lima hari.
Jabatan kebajikan masyarakat katanya, mengahntar pegawai, doktor dan jururawat untuk menjaga mangsa banjir, terutamanya warga tua.
“Sebuah keluarga Melayu yang tinggal berdekatan juga membantu dengan membuat minuman untuk mangsa. Bila orang datang ke masjid dan surau dengan niat baik, kita mesti jaga mereka,” katanya.
Tiada peraturan yang menyatakan siapa yang boleh dan tidak boleh memasuki masjid dan surau.
“Rumah ibadat kita adalah untuk semua orang. Ia pusat masyarakat, juga tempat kebajikan. Solat dan acara keagamaan hanya satu daripada fungsi masjid dan surau,” katanya.
Kebaikan yang tidak kenal perbezaan
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Mohd Rashid Hasnon yang juga tetamu terhormat pada majlis makan malam CPHM, mengucapkan terima kasih kepada Sapno dan yang lain kerana memberikan contoh yang baik dan menambah perbuatan mereka adalah seperti apa yang dianjurkan Islam.
Pengerusi CPHM Lee Min Choon berkata mereka yang telah membantu mangsa banjir di sekitar Pulau Pinang menunjukkan asas kebaikan. – 19 Disember, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan