JABATAN Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak akan menjadi unit propaganda seperti yang pernah berlaku sebelum ini, kata Wan Saiful Wan Jan.
Ketua penerangan Bersatu itu berkata era Jasa digunakan sebagai unit propaganda oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah berakhir.
Katanya Jasa kali ini akan bertindak sebagai jentera untuk mengumbul maklum balas daripada awam.
“Peranannya sudah berubah mengikut situasi semasam. Saya faham bahawa niat kerajaan setakat ini adalah untuk memastikan kerajaan sentiasa mendengar dan memahami kehendak rakyat.
“Pada masa yang sama rakyat boleh mendapat maklumat yang tepat daripada kerajaan.
“Bukan untuk propaganda seperti sebelum ini. Era itu sudah berakhir,” katanya di Facebook hari ini.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghidupkan semula Jasa dengan peruntukan RM85.5 juga di bawah Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada Jumaat.
Unit itu kembali beroperasi selepas dibubarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.
Senarai perbelanjaan persekutuan di bawah Belanjawan 2021 menyaksikan dua peruntukan diberikan kepada unit itu di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Peruntukan pertama sebanyak RM4 juta diletakkan di bawah bajet komunikasi strategik dan tambah RM81.5 juta diberikan untuk dasar baharu kerajaan.
Peruntukan besar itu mengundang persoalan dalam kalangan pembangkang yang merasakan usaha mereka membubarkan unit itu sia-sia.
DAP menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin agar menarik semula peruntukan RM85.5 juta itu jika mahu mencari kesepakatan dalam belanjawan perpaduan.
“DAP meminta perdana menteri dan kerajaan untuk segera berkomitmen secara terbuka untuk menarik semula peruntukan kepada Jasa jika kerajaan benar-benar mahukan Belanjawan Perpaduan,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan semalam.
Bagaimanapun Wan Saiful mempertahankan peruntukan untuk Jasa itu.
Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata dalam era media sosial ini, teknologi yang diperlukan untuk komunikasi berkesan memang tidak murah.
Malah katanya peruntukan RM4 juta adalah tidak besar.
“Tidak pelik jika peruntukan yang secukupnya mesti diberikan untuk memastikan kerajaan kita mempunyai teknologi dan kelengkapan yang sesuai dengan era media sosial ini.
“Itu kita belum bercakap mengenai kos menangkis fake news (berita palsu) yang sengaja disebarkan lagi. Mungkin sebab itu juga lah peruntukan emolumen hanya sekitar RM4 juta sahaja daripada jumlah penuh yang diperuntukkan.
“Tak besar pun, sebenarnya. Yang lain adalah untuk pembelian keperluan termasuk teknologi yang diperlukan,” katanya. – 8 November, 2020.
Komen