DAP meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menarik semula peruntukan RM85.5 juta untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) sekiranya mahu membentangkan Belanjawan 2021 yang digelar Belanjawan Perpaduan.
“DAP meminta perdana menteri dan kerajaan untuk segera berkomitmen secara terbuka untuk menarik semula peruntukan kepada Jasa jika kerajaan benar-benar mahukan Belanjawan Perpaduan,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.
Jasa yang sering alat propaganda menyerang pembangkang, dimansuhkan pada Oktober 2018 apabila Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan dengan dipimpin Dr Mahathir Mohamad.
Ia termasuk dalam langkah penamatan kontrak lebih sepertiga daripada 17,942 pegawai lantikan politik yang mendapat jawatan di bawah pentadbiran Najib Razak.
Ia membabitkan kira-kira 800 kakitangan Jasa yang diketuai pemimpin Umno waktu itu sebagai pengarah, Tun Faisal Ismail Aziz.
Peruntukan untuk Jasa selama bertahun-tahun Barisan Nasional memerintah sehingga dihapuskan pada 2018 jauh lebih rendah – dalam lingkungan RM21 juta sehingga RM23 juta – daripada yang diperuntukkan PN untuk tahun hadapan.
Semalam Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan belanjawan negara bernilai RM322.5 bilion untuk tahun depan menaikkan bajet Pakatan Harapan 2019 dengan jumlah perbelanjaan pada masa itu sebanyak RM314.5 bilion.
Rancangan belanjawan disampaikan kira-kira dua minggu setelah Muhyiddin gagal mendapatkan persetujuan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan darurat. – 7 November, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen