Pengusaha bas sekolah terdesak, harap boleh keluarkan duit KWSP


Alfian Z.M. Tahir

Penguasa bas sekolah antara paling teruk terjejas kerana penutupan sekolah berulang kali kerana Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2020.

PENGUSAHA bas sekolah yang mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mahu kerajaan membenarkan mereka mengeluarkan sedikit simpanan hari tua itu untuk terus bernafas walaupun ada pihak mengingatkan bahaya dana tabungan itu dibelanjakan sekarang.

Mereka memberitahu The Malaysia Insight, mereka kini hilang mata pencarian selepas sekolah ditutup untuk membendung penularan Covid-19.

Jelas mereka, isu yang sangat mendesak sekarang ialah untuk memastikan ada makanan untuk keluarga dan mahu kerajaan membantu dengan membenarkan mereka mengeluarkan dana daripada Akaun 1 KWSP.

“Saya hilang pendapatan dan sekarang memandu Grab, tetapi sebab PKPB (perintah kawalan pergerakan bersyarat), pelanggan tak ramai,” kata Mohamed Aqwam Hassan, 33, yang mengendalikan bas sekolah di Klang.

“Saya cuma boleh dapat RM50 atau RM60 sehari bawa Grab. Saya juga bergantung pada skim i-Lestari.

“Saya harap kerajaan benarkan kami keluar duit KWSP,” tambahnya.

Skim i-Lestari, yang juga di bawah KWSP, membenarkan pencarum mengeluarkan sehingga RM500 sebulan dari Akaun 2 bagi tempoh setahun.

Menurut Aqwam, beliau memerlukan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan untuk menampung bil air dan elektrik, membayar pinjaman rumah dan kereta, serta perbelanjaan harian keluarga.

Seorang lagi pengusaha bas sekolah di Shah Alam yang hanya mahu dikenali sebagai Fia berkata beliau juga menanggung nasib yang sama dan menyalahkan ibu bapa yang sebelum ini melanggan perkhidmatannya.

“Sesetengah keluarga minta bayaran balik selepas sekolah ditutup. Bukan salah saya sekolah tutup.

“Saya beritahu mereka itu saja pendapatan saya tetapi mereka mendesak. Saya pulangkan duit sebab tidak mahu cari gaduh sebab kita semua kenal antara satu sama lain, duduk pekan kecil,” katanya.

Menurut Fia, beliau kini tiada pendapatan dan bergantung pendapatan suaminya yang memandu Grab.

“Apa yang saya boleh fikir sekarang ialah berapa banyak duit dalam KWSP yang boleh tolong,” katanya.

PKPB dikuatkuasakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula pada 14 Oktober untuk tempoh dua minggu dan dilanjutkan untuk dua minggu lagi sehingga 9 November.

Semua institusi pendidikan juga diarah tutup, selepas peningkatan mendadak Covid-19 di semua negeri sejak akhir September.

Sebelum PKPB, sekolah dibuka semula pada Ogos selepas ditutup sejak pertengahan Mac.

Polemik tentang pengeluaran Akaun 1 KWSP berkisar kepada sama ada untuk menyenangkan kehidupan sukar sekarang atau menyimpan untuk masa depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2020.

Sejak minggu lalu, beberapa pihak terutamanya dari Umno mencadangkan kerajaan membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan sebahagian simpanan mereka iaitu RM10,000 dari Akaun 1.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada awalnya tidak cenderung dengan cadangan itu kerana ia akan menyusahkan pencarum sendiri pada hari tua namun dalam satu wawancara dengan media terpilih semalam berkata kerajaan mengkaji cadangan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias bagaimanapun tidak setuju. Katanya, 71% daripada pencarum aktif mempunyai kurang RM50,000 dalam akaun mereka, atau bersamaan RM208 sebulan untuk tempoh 20 tahun selepas bersara.

Ada juga ibu bapa yang prihatin

Khairul Azim, yang menghantar murid sekolah di kawasan Subang berkata, beliau bernasib baik kerana ibu bapa yang melanggan perkhidmatannya masih membayar yuran bulanan walaupun sekolah tutup.

Katanya, beliau tidak memaksa mereka membayar cuba memberitahu mereka masalah kewangan yang dihadapinya setelah sekolah tutup.

“Saya beritahu apabila sekolah tutup, saya tiada pendapatan dan minta mereka bayar sedikit, tidak perlu bayar penuh.

“Alhamdulillah, kebanyakan mereka beri kerjasama. Saya terima kasih dengan mereka. Ini saja pendapatan saya. Saya pun ada keluarga nak tanggung.

“Selagi sekolah tutup, saya tidak ada pendapatan. Saya harap kerajaan boleh pertimbang pilihan lain untuk membantu, misalnya keluarkan duit KWSP,” kata Khairul.

Daniel Hoo Abdullah dari Puncak Alam kini beralih kerja menghantar barang selepas tidak lagi membawa bas sekolah. Beliau juga mengeluarkan simpanan dari Akaun 2 KWSP di bawah skim i-Lestari.

“Masih cukup… belanja sebulan RM2,800. Sekarang ini kerja pun boleh dapat RM1,500.

“Kalau kerajaan boleh timbang untuk keluarkan duit KWSP, saya fikir itu akan membantu orang seperti saya.” – 5 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen