Perikatan cadang hanya 80 ahli Parlimen dibenar masuk Dewan Rakyat, kata laporan


Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) melaporkan wujud cadangan menghadkan jumlah ahli Parlimen masuk ke dalam Dewan Rakyat bagi mengekang penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2020.

HANYA 80 orang wakil rakyat akan dibenarkan masuk ke dalam Dewan Rakyat pada satu-satu ketika, lapor portal Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC).

Dalam laporan dimuat naik dalam laman webnya malam ini, PNBBC, berkata sekiranya cadangan itu diterima, 41 daripada 80 kerusi akan diberikan kepada blok Perikatan Nasional, manakala bakinya sebanyak 39 kerusi kepada wakil rakyat pembangkang dan Bebas.

PNBBC berkata cadangan itu bermatlamat menghalang penularan Covid-19 di Parlimen. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam, terdapat tiga kes positif Covid-19 dikaitkan dengan bangunan Parlimen.

The Malaysian Insight sudah menghubungi Pengerusi PNBBC Shahidan Kassim (Arau-BN) untuk mendapatkan ulasan tetapi masih belum menerima sebarang balasan.

Sekiranya cadangan itu diterima, PNBBC berkata sidang harian Dewan Rakyat juga akan dihadkan kepada empat jam sehari bermula 10 pagi hingga 2 petang bermula 9 November ini.

Tambahnya, sesi soal jawab harian Dewan Rakyat hanya dijalankan selama sejam sehari bermula jam 10 hingga 11 pagi. Pada masa sekarang, sesi itu yang menjadi satu-satunya peluang ahli Parlimen bertanyakan soalan kepada kerajaan diadakan setiap hari bermula jam 10 pagi hingga tengahari.

PNBBC juga berkata tiada sebarang soalan tambahan dibenarkan ketika sesi soal jawab itu.

Memetik sumber, PNBBC berkata Pejabat Speaker akan mengeluarkan pas khas kepada ketua whip parti.

Ahli Parlimen kemudiannya diminta mendaftar kehadiran sebelum ke pejabat masing-masing untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

PNBCC juga berkata yang perbahasan Belanjawan 2021 akan dilanjutkan selama 2 hari bermula 9 hingga 19 November.

Sesi pergulungan menteri pula akan bermula pada 23 November dan perbahasan peringkat jawatankuasa akan bermula pada 26 November. – 4 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen