KKM cadang saringan Covid-19 di Parlimen 2 minggu sekali


Noel Achariam

KKM akan mencadangkan saringan Covid-19 dua minggu sekali untuk semua orang yang berada di Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan akan mencadangkan saringan Covid-19 dibuat dua minggu sekali untuk mereka yang berada di Parlimen.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata beliau akan menyampaikan cadangan itu kepada Speaker Dewan Rakyat supaya dilaksanakan pada sidang yang bermula semalam hingga 15 Disember depan.

“Saya akan bentangkan kepada Parlimen. Saya akan bincang dengan Speaker (Azhar Azizan Harun) dan mungkin mereka akan pertimbangkan cadangan ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Saringan Covid-19 sebelum ini dibuat tiga hari sebelum persidangan sekarang bermula, tambahnya.

“Tetapi, sepanjang enam minggu, ahli Parlimen dan kakitangan Parlimen masih terdedah (kepada virus).”

Katanya, terdapat tiga kes positif Covid-19 dikaitkan dengan Parlimen melibatkan seorang penterjemah bahasa isyarat, polis bantuan dan pegawai khas senator.

“Mereka yang merupakan kontak rapat sudah dikuarantin dan saringan sedang dijalankan.

“Kami mahu menasihati ahli Parlimen supaya mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dalam dan luar Parlimen untuk enam minggu akan datang bagi mengelak jangkitan.”

Dr Noor Hisham berkata KKM juga akan melakukan penilaian risiko dari semasa ke semasa untuk menghalang penularan jangkitan dalam Parlimen. – 3 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen