Ada menteri Umno tidak pertahan keputusan darurat, kata sumber


Beberapa menteri Umno ditegur dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu kerana tidak mempertahankan keputusan bersama Kabinet untuk guna kuasa darurat bendung Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2020.

BEBERAPA menteri Umno ditegur dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lalu kerana tidak mempertahankan “keputusan bersama” Kabinet untuk menggunakan kuasa darurat bagi membendung pandemik Covid-19 yang kian meruncing, kata sumber parti dan kerajaan.

Mereka memberitahu The Malaysia beberapa menteri, diketuai seorang menteri kanan Bersatu, menegur menteri-menteri Umno kerana tidak mempertahankan keputusan bersama itu kepada parti dan orang ramai.

“Itu keputusan bersama Jemaah Menteri tetapi menteri Umno tidak pertahankan selepas permohonan untuk pengisytiharan darurat ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong,” kata seorang sumber di Putrajaya.

The Malaysian Insight difahamkan cadangan pengisytiharan darurat dibincangkan dalam satu mesyuarat Majlis Keselamatan Negara sebelum diangkat untuk diputuskan oleh Jemaah Menteri.

Satu mesyuarat khas Jemaah Menteri diadakan pada Jumaat 23 Oktober untuk membincangkan usul berkenaan dan dipersetujui oleh semua menteri, termasuk sembilan daripada Umno.

“Ini bukan kehendak perdana menteri tetapi nasihat Kabinet, yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata sumber.

Selepas mesyuarat khas Kabinet itu, Muhyiddin bersama enam menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdul Aziz di Kuantan, Pahang untuk mempersembahkan nasihat Kabinet.

Sumber berkata cadangan darurat bukan kehendak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tetapi nasihat Kabinet, diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2020.

Pada Ahad 25 Oktober, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas berunding dengan Raja-Raja Melayu tidak memperkenankan permohonan kerajaan.

Baginda merasakan kerajaan berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan, dan “tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka mengisytiharkan darurat”.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kemudian dilihat mengkritik Muhyiddin apabila berkata sebarang langkah besar yang hendak dibuat oleh kerajaan perlu melibatkan semua pihak.

Selang sehari pada Selasa 27 Oktober, Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad yang juga menteri pengajian tinggi mengeluarkan satu kenyataan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang tidak memperkenankan untuk pengisytiharan darurat.

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

KENYATAAN MEDIA KETUA WANITA UMNO MALAYSIA DR NORAINI AHMAD 1. Wanita UMNO Malaysia menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini. 2. Dengan titah Baginda ini maka bersesuaianlah saranan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melakukan gencatan politik dalam memberi ruang kepada pemimpin Kerajaan untuk memberi fokus kepada pelbagai cabaran yang sedang melanda negara ketika ini. 3. Selain itu Wanita UMNO juga sebagai tulang belakang parti tegas dengan pendirian ‘No Dap’ dan menolak keras kerjasama dengan sesiapa sahaja yang ada hubungan dengan Dap dan terus memperkukuhkan Muafakat Nasional. 4. Dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15, kita haruslah terus memperkukuhkan Muafakat Nasional kerana rakyat menerima baik kerjasama antara UMNO dan PAS malah ini adalah satu pilihan baru untuk rakyat bagi menyandarkan harapan agar suara mereka di bawa dengan baik. TAMAT

A post shared by Wanita UMNO Malaysia (@wanitaumnomsia) on

 

Pada Rabu, Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mesyuarat pra-Kabinet sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang menyaksikan beberapa menteri daripada Bersatu menegur menteri Umno kerana membelakangkan keputusan bersama.

“Pelbagai pihak mengkritik keputusan Kabinet termasuk dari parti mereka tetapi mereka diam. Ini tidak dapat diterima kerana keputusan itu dibuat dengan persetujuan mereka juga dalam Jemaah Menteri,” kata seorang sumber kerajaan.

Seorang lagi sumber memberitahu kenyataan Noraini sebagai ketua Wanita Umno digunakan sebagai antara contoh dalam hujah menteri Bersatu.

“Kenyataannya jadi peluru,” kata sumber itu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi dipetik mengesahkan menteri Umno “dibelasah” dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa yang juga dari Umno bagaimanapun menafikan perkara itu sebagai “karut, sangat tidak benar”.

Dalam perutusan kepada rakyat pada Sabtu, Muhyiddin berkata Pilihan Raya Kecil Batu Sapi pada 5 Disember dan Pilihan Raya Negeri Sarawak yang perlu diadakan pada bila-bila tidak boleh ditangguhkan tanpa pengisytiharan darurat.

“Tetapi apa boleh buat kerana itu adalah kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan maka kita terpaksa mengadakan pilihan raya.

“Kecuali jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Batu Sapi dan Sarawak, bolehlah kita tangguhkan dahulu kedua-dua pilihan raya ini sehingga Covid-19 berakhir,” katanya. – 3 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen