Langkah besar kerajaan perlu musyawarah, kata Presiden Umno


Ahmad Zahid mencadangkan agar satu inisiatif "rekonsiliasi nasional" dimulakan, merangkumi agenda politik, ekonomi, sosial, dan keselamatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2020.

LANGKAH besar yang hendak dibuat oleh kerajaan perlu melibatkan semua pihak, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, selepas Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan kerajaan Perikatan Nasional untuk pengisytiharan darurat bagi membendung Covid-19.

“Ibrah episod ini jelas mendidik kita bahawa dalam melaksanakan sebarang langkah besar yang hendak dilakukan oleh kerajaan memerlukan proses musyawarah dan penglibatan secara konsensus semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Mesyuarat khas Jemaah Menteri pada Jumaat lalu bersetuju untuk mencadangkan langkah darurat bagi menangani Covid-19, di tengah-tengah ketidaktentuan mengenai majoriti kerajaan Muhyiddin di Dewan Rakyat.

Ahmad Zahid lalu mencadangkan agar satu inisiatif “rekonsiliasi nasional” dimulakan, merangkumi agenda politik, ekonomi, sosial, dan keselamatan.

“Rakyat perlu menjadi keutamaan ketika ini,” katanya, yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk.

“Usaha bersungguh-sungguh hendaklah dijelmakan dalam mencari keseimbangan antara mengurus wabak Covid-19 dan kehidupan ekonomi rakyat.

“Saya menyeru agar kepimpinan politik perlulah benar-benar ikhlas dalam menjayakan cita-cita ini,” tambahnya.

Ahmad Zahid juga berharap semua kepimpinan parti politik “merapatkan saf di semua peringkat” dan bersama-sama menangani penularan Covid-19 demi kesejahteraan rakyat.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak memperkenankan permohonan kerajaan Muhyiddin selepas merundingkannya dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, petang tadi.

Selepas pertemuan Raja-Raja Melayu itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata Yang di-Pertuan Agong berpendapat tidak perlu baginda mengisytiharkan darurat bagi memerangi pandemik Covid-19.

Seri Paduka Baginda merasakan kerajaan sekarang “telah berjaya menangani wabak dengan baik dan berkesan”, katanya.

“Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan Kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini dari terus merebak,” kata Ahmad Fadil.

Al-Sultan Abdullah juga mahu bertitah mahu ahli politik berhenti segera daripada main politik. Baginda juga menyeru semua pihak agar bersama-sama memainkan peranan masing-masing membantu Malaysia mengharungi masa sukar melawan Covid-19.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan berasingan berkata Raja-Raja Melayu antara lain membangkitkan isu salah guna kuasa dan keadilan sebagai panduan kepada Al-Sultan Abdullah.

Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan pertambahan 823 kes baharu Covid-19, selepas rekod kes tertinggi 1,228 dalam sehari yang dicatatkan semalam.

Malaysia kini mencatatkan keseluruhan 26,565 kes, sejak wabak itu mula dikesan masuk di negara ini pada hujung Januari 2020.

Lebih separuh daripada keseluruhan kes itu dikesan hanya pada bulan ini saja, berbanding lebih kurang 10,000 kes yang dicatat selama tujuh bulan antara Mac hingga September. – 25 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen