Adakah pendekkan masa sidang untuk ‘tenggelamkan’ usul pembangkang, tanya Prabakaran


Apa beza pendekkan masa persidangan dalam usaha kekang Covid-19, soal Ahli Parlimen Batu P Prabakaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2020.

AHLI Parlimen Batu P Prabakaran mempersoalkan tindakan mengurangkan masa persidangan Parlimen kepada hanya tiga jam sehari dan tertanya-tanya sekiranya ia dibuat untuk menenggelamkan beberapa usul cadangan pembangkang.

“Banyak isu dan usul tertangguh yang perlu dibentangkan kali ini, pemendekan masa persidangan tidak akan membantu langsung. Isu rakyat perlu diberi keutamaan.

“Saya harap ini bukan satu lagi strategi politik untuk tenggelamkan beberapa usul yang dibawa pembangkang,” tulisnya di Facebook, hari ini.

Sidang Parlimen ditangguhkan pada jam 1 petang hari ini selepas seorang pegawai senator disahkan positif Covid-19.

“Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan kata penjadualan semula sidang adalah untuk seminggu kemudian ‘u-turn’ dan kata ia harian, jadi apa sebenarnya keputusan sekarang?” soal ketua Pemuda PKR Wilayah Persekutuan itu.

Tambahnya, usul menghadkan masa persidangan Parlimen hanya pada waktu pagi tidak wajar kerana semua ahli Parlimen dan kakitangan mereka sudah menjalani saringan Covid-19 sebelum masuk bersidang seperti mana dituntut SOP.

“Berapa banyak anda boleh kekang penularan Covid-19 dengan memendekkan masa bersidang daripada 10 pagi hingga 1 petang? Apa bezanya?” soal Prabakaran. – 2 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen