MENGELUARKAN simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukanlah idea yang bagus kerana 71% pencarum mempunyai kurang RM50,000 dalam dana persaraan mereka, kata presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Abdul Halim Mansor.
Halim berkata Akta KWSP 1991 jelas menyatakan simpanan itu hanya untuk kegunaan selepas bersara, dan melihat kepada usia kebanyakan rakyat Malaysia, mereka perlu mempunyai simpanan sekurang-kurangnya untuk tempoh 15 hingga 20 tahun.
“Kita tidak dapat bantuan kerajaan setelah bersara,” kata Halim kepada The Malaysian Insight.
“Jangkaan minimum yang kita jangka dalam RM150,000 hingga RM200,000 saja untuk bertahan selepas bersara.”
Katanya, pencarum yang bekerja selama 10 tahun ke bawah mungkin tidak mempunyai banyak simpanan.
Sebilangan mereka mungkin mengeluarkan simpanan selepas mendaftar dalam program i-Lestari yang membolehkan pengeluaran wang sehingga RM500 sebulan daripada Akaun 2 KWSP untuk meringankan beban kewangan dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.
“Kita perlu ikut Akta. Dalam Akta itu, perlu untuk kita mempunyai simpanan untuk kegunaan selepas bersara. Mereka akan dapat guna wang itu selepas bersara. Tiada siapa boleh mengubah hal itu.
“Apa yang akan berlaku kepada pekerja kalau mereka tidak ada simpanan bila bersara? Adakah kerajaan akan menampung mereka atau bagi bantuan untuk tolong mereka?,” soalnya.
Halim berkata tidak ada jaminan buat mereka yang keluarkan sejumlah besar daripada akaun mereka itu akan menyumbang lebih dari jumlah untuk menambah simpanan mereka.
“Setelah awak keluarkan, itu sudah dianggap kerugian,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendesak kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan pengeluaran simpanan Akaun 1 KWSP bagi membantu mengatasi keadaan ekonomi yang meruncing kini.
Asyraf berkata kerajaan boleh membenarkan rakyat mengeluarkan caruman sekurang-kurangnya RM5,000 dan boleh ditetapkan maksimum pada RM10,000.
Namun, bagi mengelakkan pekerja menyentuh simpanan di Akaun 1, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias berkata, 71% pencarum aktif KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 dalam akaun mereka, yang bermaksud RM208 sebulan selama 20 tahun selepas bersara.
Ketua Pegawai Eksekutif Areca Capital Sdn Bhd Danny Wong berkata walaupun ia dapat membantu orang ramai, langkah seperti itu mesti dikaji dengan teliti.
“Mereka yang mempunyai jumlah besar seperti T20 atau M40, mungkin tidak memerlukan. Mereka dalam kategori B40 dan M40 rendah mungkin mempunyai sedikit simpanan KWSP dan simpanan itu sepatutnya untuk kegunaan selepas bersara.
“Ia tidak boleh disentuh melainkan ia melibatkan masalah kehidupan,” kata Wong. – 2 November, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen