PEMUDA Umno menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menimbang semula cadangan membenarkan pengeluaran wang akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengurangkan beban rakyat semasa pandemik Covid-19.
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata kerajaan boleh membenarkan rakyat mengeluarkan caruman mereka sekurang-kurangnya RM5,000, dan boleh ditetapkan maksimum pada RM10,000.
“Hakikatnya, rata-rata rakyat merintih dan menyampaikan keluhan dan keresahan mereka betapa perit dan sempitnya kehidupan di tengah-tengah Covid-19 yang memberi kesan langsung terhadap kelangsungan hidup ketika ini,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Pemuda Umno juga mencadangkan pengeluaran dibenarkan secara beransur-ansur dan bukan sekali gus.
“Apabila situasi kembali pulih, pencarum boleh kembali digalakkan untuk menambah semula caruman mereka.”
Asyraf mengulas kenyataan Muhyiddin semalam yang dilaporkan berkata agak sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran wang akaun 1 KWSP untuk digunakan rakyat yang kini berdepan pandemik Covid-19.
Beliau juga berkata Pemuda Umno akan menyampaikan harapan rakyat secara rasmi kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam masa terdekat.
Sementara itu, bekas perdana menteri Najib Razak berkata KWSP boleh memilih untuk membayar pengeluaran “one-off” secara bulanan dalam tempoh 3 bulan atau 6 bulan.
“Dan bila duit ini sampai ke rakyat terdesak dan dibelanjakan, ekonomi tempatan juga dirancakkan,” katanya di Facebook hari ini.
Najib berkata demikian susulan ada pihak bimbang KWSP akan tertekan dari segi aliran wang tunai jika kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan sehingga RM10,000 sekali gus dari akaun 1.
Menurutnya, seramai 4.57 juta pencarum telah diluluskan untuk Skim i-Lestari KWSP pakej prihatin kerajaan yang membenarkan pengeluaran bulanan dari akaun 2 KWSP, dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM7.48 bilion dari April hingga Ogos.
“Saya jangka jumlah pencarum yang mahu pengeluaran one-off akaun 1 juga sekitar jumlah yang diluluskan skim i-Lestari.”
Ini bermakna jumlah pengeluaran RM45.7 bilion jika setiap pencarum mengeluarkan RM10,000, katanya.
“Ada yang mungkin mahu jumlah lebih kecil untuk keperluan terdesak,” tambah Najib.
KWSP pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM15.12 bilion bagi tempoh suku kedua tahun ini, manakala aset pelaburannya sebanyak RM929.64 bilion dan 30 peratus pada 30 Jun.
Memandangkan 49.2% pelaburan KWSP adalah dalam bentuk bon, maka timbul kebimbangan terhadap tekanan ke atas pasaran bon tempatan akibat pencairan bon sehingga nilai RM45.7 bilion dalam masa yang singkat untuk pembiayaan skim pengeluaran “one-off” ini, kata Najib.
Bagaimanapun, KWSP boleh meminta bantuan Bank Negara (BNM) kerana bank pusat itu dibenarkan untuk membeli bon dari pasaran tempatan jika diperlukan.
Langkah tersebut katanya tidak berbahaya kerana Malaysia dan dunia kini berada dalam zaman inflasi negatif akibat ekonomi yang tertekan.
“Ini zaman norma baharu. Sebab itu, norma baharu dan kaedah baharu juga diperlukan dalam pendekatan kerajaan untuk membantu rakyat serta merancakkan ekonomi.
“Sukar untuk membenarkan tak bermaksud mustahil untuk dilakukan,” jelasnya. – 31 Oktober, 2020.
Komen