POLITIKUS dan pemimpin masyarakat sivil menyertai gesaan meminta Putrajaya membantu pekerja Malindo Airways Sdn Bhd yang dibuang dan industri penerbangan yang terjejas teruk kerana Covid-19.
Bekas perdana menteri Najib Razak di Facebook misalnya, meluahkan rasa simpati dengan pekerja Malindo yang hilang kerja itu.
Beliau menggesa kerajaan mempercepatkan pemberian elaun daripada Skim Insurans Pekerjaan yang diperkenalkannya pada 2017.
“Hulurkan tangan dan bantu mereka ditempatkan di kerja baru juga,” katanya.
Najib mengulas laporan The Malaysian Insight tentang pakej pemberhentian kerja melibatkan hampir 2,000 pekerja Malindo Airways, semalam.
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi Twitternya pula mahu kerajaan meneliti situasi pembuangan pekerja besar-besaran yang berlaku dalam industri penerbangan pada Belanjawan 2021 nanti.
“Dalam Belanjawan 2021 akan datang, kerajaan patut meneliti dengan serius pembuangan pekerja besar-besaran yang berlaku dalam industri penerbangan,” katanya.
Malindo Air mengurangkan jumlah kakitangannya daripada 10,000 orang kepada hanya 1,000 orang sejak beberapa bulan lepas, menjejaskan hampir 9,000 pekerja.
“Itu 9,000 keluarga,” kata pengasas Muda dan bekas menteri belia dan sukan itu lagi.
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Annar Musa berkata beliau berharap akan dapat mencari peluang untuk membantu.
“Hati kita terasa sungguh berat mendengar berita begini. Serangan Covid-19 meninggalkan kesan yang parah pada ekonomi dunia.
“Marilah kita bersatu hati pulihkan kembali ekonomi semoga mereka yang terlibat dapat kembali semula berkerjaya. Harap saya berpeluang membantu,” katanya di Twitter.
Peguam Lim Wei Jiet, bagaimanapun, menasihati pekerja terlibat berhubung dengan kesatuan sekerja jika mereka tidak pasti dengan pakej pemberhentian kerja yang ditawarkan.
“Sedih sekali baca ucapan selamat tinggal kakitangan Malindo. Jika tak pasti (untuk) terima pakej pemberhentian, bercakap dengan kesatuan anda,” tulisnya di Twitter.
The Malaysian Insight semalam melaporkan pakej pemberhentian kerja meliputi pembayaran tiga bulan gaji antara yang akan diterima oleh kira-kira 2,000 kakitangan Malindo Airways Sdn Bhd yang dibuang.
Garis panduan pengurusan pemberhentian pekerja syarikat yang dilihat The Malaysian Insight menyatakan pakej pemberhentian akan dibayar secara ansuran.
“Kakitangan yang akan menerima jumlah pampasan RM15,000 ke bawah, pembayaran akan dibuat secara ansuran sebanyak tiga kali. Ansuran pertama akan dibuat pada 30 November.
“Kakitangan yang akan menerima jumlah pampasan RM15,001 dan ke atas, pembayaran akan dibuat secara ansuran sebanyak enam kali. Pembayaran pertama pada 30 November.”
Malindo menjadi topik paling popular di Twitter semalam apabila kakitangannya menggunakan media sosial untuk “keluar” dari syarikat itu sementara kata-kata sokongan diberi daripada rata-rata pengguna media sosial.
Ketua Pegawai Eksekutif Kapten Mushafiz Mustafa Bakri menerusi memo dalaman yang dilihat oleh The Malaysian Insight berkata bahawa syarikat penerbangan itu hanya memperoleh 10% daripada pendapatan bulanan sebelum pandemik Covid-19. – 1 November, 2020.
Komen