Malindo bakal buang 2,000 pekerja


Ragananthini Vethasalam

Malindo Airways Sdn Bhd akan memberhentikan kira-kira 2,000 daripada 3,200 kakitangannya susulan operasi syarikat penerbangan itu terjejas teruk akibat Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2020.

MALINDO Airways Sdn Bhd akan memberhentikan kira-kira 2,000 daripada 3,200 kakitangannya susulan operasi syarikat penerbangan itu terjejas teruk akibat Covid-19.

Dalam memo kepada pekerja yang dilihat The Malaysian Insight, ketua pegawai eksekutifnya Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata syarikat berkenaan hanya memperoleh 10% daripada pendapatan bulanan sebelum pandemik Covid-19.

“Beberapa bulan kebelakangan ini sangat mencabar bagi kami ekoran kesan berterusan pandemik Covid-19 terhadap industri penerbangan.

“Kami tidak dapat melakukan penerbangan antarabangsa kerana sempadan ditutup. Pada masa yang sama, hampir tiada permintaan bagi penerbangan domestik.

“Ini menjejaskan pendapatan kami. Sehingga kini, kami hanya memperoleh 10% daripada pendapatan bulanan sebelum pandemik,” katanya.

Menurut Mushafiz, Malindo Airways mengambil beberapa langkah drastik untuk menampung kos tetap dan operasi termasuk mengurangkan jumlah pesawat kepada 50%.

Selain itu, syarikat turut menawarkan cuti tanpa gaji jangka panjang sukarela (LTU) dan Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

Malindo juga menangguhkan pengambilan pekerja baharu, mengkaji semula gaji, menghentikan pemberian elaun, tuntutan elaun kerja lebih masa dan perjalanan, selain menghentikan pengambilan semula pekerja berusia lebih 60 tahun.

“Dukacitanya, segala usaha ini tidak mampu untuk menangani kesan berpanjangan wabak Covid-19 terhadap perniagaan kami,” kata Mushafiz.

Jabatan Sumber Manusia akan memaklumkan mengenai pampasan penamatan kerja kepada kakitangan yang terbabit dalam masa terdekat, tambah beliau. – 29 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen