Jangan adakan pilihan raya ketika Covid-19 masih menular, kata Kementerian Kesihatan


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengesyorkan agar tidak diadakan pilihan raya ketika pandemik Covid-19 masih melanda negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2020.

PILIHAN raya tidak boleh diadakan dalam waktu terdekat ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya pilihan raya negeri di Sabah telah menunjukkan kesan apa yang akan berlaku dan ia tidak sepatutnya berulang.

Jumlah kes jangkitan Covid-19 melonjak selepas pilihan raya negeri yang tamat pada 26 September lalu diadakan. Mereka yang kembali dari Sabah juga menjadi punca lebih banyak jangkitan berlaku di seluruh negara.

“Kita sangat bimbang jika diadakan piihan raya lagi. Kami mengesyorkan agar tidak diadakan pilihan raya.

“Kita telah belajar dari Sabah, kita tidak mahu ulangi kesan daripada mengadakan pilihan raya di tempat lain,” kata Dr Noor Hisham pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Terdahulu hari ini, Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata pilihan raya Batu Sapi yang dijadualkan pada 5 Disember akan diteruskan.

Beliau berkata di bawah Perlembagaan, jelas tertulis apabila ada kekosongan kerusi Parlimen, maka PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Semalam, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata kerajaan negeri akan mneruskan pilihan raya negeri Sarawak ke-12 susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk tidak mengisytiharkan darurat.

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata ia hanyalah cadangan daripada kementerian namun menambah sekiranya pilihan raya tidak dapat dielakkan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kementerian akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagaimana untuk perketatkan SOP dan perkara lain untuk mengadakan pilihan raya, termasuk penggunaan undi pos.

“Kami hanya berikan cadangan. Sekiranya (pilihan raya) tidak dapat dielakkan dan perlu diadakan mengikut perlembagaan, barulah kita lihat kepada SOP bagaimana kita akan mengadakan pilihan raya dan mengurangkan jangkitan.

“Mungkin kita perlu lihat cara yang berbeza untuk mengadakan pilihan raya. Pertama tiada rentas sempadan, tiada rentas daerah dan tiada balik kampung untuk mengundi.

“Kedua tiada perhimpunan besar-besaran dan ketiga tiada lawatan rumah ke rumah.

“Ini adalah tiga isu utama yang perlu dibincangkan dengan SPR, jika kita boleh laksanakan dan gunakan undi pos,” katanya.

Hari penamaan calon dan hari mengundi bagi PRK Batu Sapi telah diumumkan oleh SPR.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 23 November manakala hari mengundi pada 5 Disember.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan tarikh berkenaan awal bulan ini berkata, kempen boleh dijalankan secara dalam talian menggunakan media sosial dan video.

Setakat ini parti yang telah menyatakan untuk tidak bertanding pada pilihan raya kecil Batu Sapi adalah Barisan Nasional, Parti Cinta Sabah dan Parti Bersatu Sabah. – 27 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen