PRK Batu Sapi akan diteruskan, kata Ismail Sabri


Noel Achariam

Kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah kosong selepas penyandangnya VK Liew meninggal dunia pada 2 Oktober lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2020.

PILIHAN raya kecil (PRK) Batu Sapi pada 5 Disember akan diadakan seperti terdapatnya pertandingan, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan berkata di bawah Perlembagaan, jelas tertulis apabila ada kekosongan kerusi Parlimen, maka PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

“Justeru, bukannya kerajaan yang boleh memutuskan apakah PRK boleh diteruskan atau tidak. Ini berada di bawah bidang kuasa SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya),” kata Ismail semasa sidang media hari ini.

Kerusi itu disandang oleh bekas menteri undang-undang Liew Vui Keong, yang meninggal dunia pada 2 Oktober.

Ismail berkata, kerajaan memahami kebimbangan rakyat untuk keluar mengundi.

“Kami juga mendapat tahu  ada beberapa pegawai pilihan raya yang takut untuk bekerja.”

Katanya, Majlis Keselamatan Negara akan bertemu dengan SPR untuk merancang prosedur operasi standard ketat yang harus dipatuhi semasa pilihan raya.

“Ini menjamin keselamatan orang ramai untuk keluar dan mengundi.”

Pencalonan untuk PRK Batu Sapi akan diadakan pada 28 November, dan pengundian pada 5 Disember.

Semasa mengumumkan tarikh awal bulan ini, Ketua SPR Abdul Ghani Salleh berkata kempen harus dilakukan secara dalam talian, menggunakan media sosial dan video.

Setakat ini, parti yang mengatakan tidak akan bertanding pada PRK Batu Sapi adalah Barisan Nasional, Parti Cinta Sabah dan Parti Bersatu Sabah. – 27 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen