IMAMS dibatalkan sebab protes, bukan agenda politik, kata Zahid


Muzliza Mustafa

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sistem sebegitu tidak sepatutnya diwujudkan dan menambah bahawa beliau berasa simpati dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Abdul Aziz yang terpaksa mempengerusikan mesyuarat dan membuat keputusan yang akhirnya dibatalkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2017.

PEMBATALAN Sistem Pemantauan Pengendalian Pakej Umrah Malaysia (IMAMS) dilakukan selepas menerima banyak bantahan daripada pengendali pelancongan, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, tindakan itu bukan juga disebabkan isu politik.

“Saya tidak fikir adanya unsur politik dalam perkara ini. Tapi saya menghidu bau yang tidak mengenakkan hidung jika ada yang mengambil peluang terutama apabila CEO yang tidak pernah mengerjakan umrah untuk menjadi CEO (terlibat),” katanya.

Zahid berkata, sistem sebegitu tidak sepatutnya diwujudkan selain menambah beliau simpati dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Abdul Aziz yang terpaksa mempengerusikan mesyuarat dan membuat keputusan yang akhirnya dibatalkan.

“Kabinet dimaklumkan tetapi tidak melalui sistem IMAMS tapi syarikat yang mengendalikan umrah perlu didaftarkan dan peraturan tertentu dilakukan dan pemantauan dilaksanakan agar jemaah tidak dimangsakan,” katanya.

Awal hari ini, Zahid berkata, beliau telah berbincang bersama Nazri Aziz berhubung isu itu di mana beliau telah diperjelaskan mengenai sistem itu dan kenapa ia dibatalkan.

Sebelum itu, Nazri menafikan pembatalan IMAMS dibuat bukan kerana pegawai kanan syarikat pengendali itu tidak beragama Islam.

Nazri berkata, pelaksanaan sistem pemantauan pengendalian pakej umrah atau IMAMS itu dibatalkan kerana ia tidak sama dengan apa yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Apa yang dibincangkan di Kabinet dan dijelaskan pada peringkat jawatankuasa bagi bajet kementerian di Parlimen bukanlah apa yang diumumkan kepada orang ramai.

“Caj yang dipersetujui sepatutnya RM40, termasuk insurans, dan ia mestilah pilihan,” katanya seperti dipetik oleh Malaysiakini.

Menyokong langkah pembatalan sistem itu, Zahid berkata, mesyuarat peringkat kabinet akan diadakan bagi mencari kaedah lebih sesuai supaya rakyat yang mahu mengerjakan umrah dan haji tidak tertipu. Mekanisme itu akan dikawal selia oleh kerajaan sendiri.

Sistem itu dibatalkan semalam selepas mendapat kritikan pelbagai pihak mengenai pengurusan sistem itu dikendalikan oleh syarikat yang mempunyai pekerja bukan Islam.

Perdana Menteri Najib Razak turut mengalukan pembatalan sistem itu.

“Saya tidak bersetuju sistem IMAMS dikenakan untuk urusan visa Umrah. Pengumuman ianya dibatalkan adalah sangat tepat,” tulis Najib melalui laman Twitter-nya.

Di bawah sistem itu, semua permohonan visa untuk umrah akan diproses oleh kedutaan Arab Saudi, bagi mengelak sebarang penipuan pakej umrah.

Sistem itu asalnya bertujuan untuk mewajibkan permohonan visa umrah dan sepatutnya dikenakan ke atas semua 65 agensi pelancongan berstatus muasassah.

Jemaah haji dan umrah akan dikenakan bayaran RM90.10 untuk setiap permohonan yang termasuk insurans takaful dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Kritikan terhadap IMAMS itu, termasuklah PERSATUAN Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh) yang berkata sistem itu tidak masuk akal memandangkan sudah ada sistem permohonan visa secara percuma dan pilihan insurans yang lebih murah. – 17 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • "PEMBATALAN Sistem Pemantauan Pengendalian Pakej Umrah Malaysia (IMAMS) dilakukan selepas menerima banyak bantahan daripada pengendali pelancongan, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi."

    Satu pembohongan..mana ada kerajaan prihatin terhadap protes rakyat contoh: penarikkan subsidi minyak ..yang mereka prihatin adah banyak mana yang boleh kita sebat dari poket rakyat..

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan