PEMBATALAN sistem pemantauan bersepadu ke atas pakej umrah dibuat bukan kerana pegawai kanan syarikat pengendalinya bukan beragama Islam, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Abdul Aziz.
Bercakap kepada Malaysiakini, Nazri berkata pelaksanaan sistem pemantauan pengendalian pakej umrah atau IMAMS itu dibatalkan kerana ia tidak sama dengan apa yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
“Apa yang dibincangkan di Kabinet dan dijelaskan pada peringkat jawatankuasa bagi bajet kementerian di Parlimen bukanlah apa yang diumumkan kepada orang ramai.
“Caj yang dipersetujui sepatutnya RM40, termasuk insurans, dan ia mestilah pilihan,” katanya seperti dipetik oleh Malaysiakini.
“Ia bukan program kementerian tetapi satu inisiatif sektor swasta, jadi ia tidak boleh diwajibkan,” tambah beliau, yang kini dalam lawatan kerja ke Jerman.
Menurut Nazri, keputusan itu tidak ada kena mengena dengan rungutan pelbagai pihak bahawa Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat Integrated Manasik Monitoring System Sdn Bhd seorang yang bukan beragama Islam.
“Saya putuskan untuk membatalnya kerana saya tidak dengan (bayaran) RM90, dan kerana ia diumumkan sebagai wajib. Itu saja,” katanya.
Semakan hansard sidang Dewan Rakyat bagaimanapun menunjukkan Nazri memberitahu Parlimen caj bagi perkhidmatan IMAMS ialah sebanyak RM90.10.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, semasa menggulung perbahasan Bajet 2018 pada 13 November lalu.
Menurut Nazri, kos RM90.10 itu meliputi RM45 sebagai kos pentadbiran, penyelenggaraan dan operasi sistem yang akan dilaksanakan oleh syarikat IMAMS, perlindungan takaful RM40 dan RM5.10 adalah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
“Jadi inilah caj yang dikenakan kepada mereka yang akan mengambil bahagian dalam untuk pergi ke tanah suci di bawah program umrah ziarah ini,” kata Nazri seperti direkodkan dalam hansard Dewan Rakyat.
IMAMS adalah sistem bersepadu untuk menguruskan permohonan visa menunaikan Haji dan Umrah diumumkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi memudahkan permohonan visa bakal jemaah serta menangani penipuan.
Kaedah IMAMS diperkenalkan oleh Majlis Kawal Selia Umrah yang dianggotai 13 agensi kerajaan dan persatuan pengusaha pelancongan, dipengerusikan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Sejurus sistem itu diperkenalkan, IMAMS mendapat kritikan pelbagai pihak selepas pendedahan membuktikan pengurusan kanan syarikat pengendali itu bukan beragama Islam sehingga menyebabkan Timbalan Menteri Mas Ermieyati terpaksa membuat sidang media tergempar membatalkan pelaksanaan sistem itu, sehari selepas dilancarkan. – 17 Disember, 2017.
Komen