MAJLIS Tertinggi (MT) Umno yang bermesyuarat malam ini akan memutuskan satu antara dua – terus sokong Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) atau tarik balik sokongan daripada kerajaan yang terbentuk hasil percaturan politik lapan bulan lalu, kata beberapa sumber.
Mesyuarat malam ini diadakan setelah semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyuarakan pilihan yang mereka dalam mesyuarat siang tadi, susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan cadangan kerajaan Muhyiddin untuk pengisytiharan darurat.
The Malaysian Insight difahamkan sehingga 26 ahli Parlimen Umno sedia untuk keluar dari kerajaan Muhyidin.
“Ada 24 hingga 26 ahli Parlimen yang menimbang untuk tidak lagi menyokong PN,” kata sumber.
Pilihan tidak lagi menyokong PN itu meletakkan BN kepada dua lagi pilihan: serah semula mandat kepada rakyat melalui pilihan raya atau sokong Presiden Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, kata sumber.
“Keputusannya bergantung mesyuarat malam ini,” kata sumber.
Awal hari ini, Ahli Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin memberitahu pemberita rata-rata ahli Parlimen BN menolak kerjasama politik dengan Anwar dan DAP.
Anwar mengetuai Pakatan Harapan (PH) yang dibentuk bersama oleh PKR, DAP, dan Amanah. Blok itu mempunyai 91 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.
Bekas pengerusi BN Najib Razak juga memberitahu pemberita siang tadi secara umumnya ahli Parlimen parti itu sepakat Umno harus membuat keputusan sebagai satu blok.
“Macam mana pun Umno tak boleh pecah. Mesti bertindak sebagai satu blok. Ini satu daripada pandangan yang boleh dikatakan didukung oleh semua pihak,” katanya.
BN mempunyai 43 ahli Parlimen, dengan 39 daripadanya dari Umno. MCA mempunyai dua wakil sementara MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) masing-masing seorang.
Mesyuarat malam ini adalah yang pertama sejak Biro Politik Umno pada 13 Oktober mencadangkan parti memberikan syarat baru kepada Muhyiddin sebagai jaminan untuk terus menyokong kerajaannya.
MT Umno sepatutnya bermesyuarat pada 20 Oktober di Janda Baik, Pahang tetapi ditangguhkan larangan rentas negeri susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Semalam, selepas berunding dengan Raja-raja Melayu, Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan permohonan kerajaan Muhyiddin untuk pengisytiharan darurat bagi menangani Covid-19.
Permohonan itu sebelumnya dibantah oleh banyak pihak yang curiga kerana ia dikemukakan ketika kerajaan Muhyiddin dilihat sudah hilang majoriti.
“Apabila Muhyiddin memohon perkenan daripada Agong untuk melaksanakan darurat bermakna beliau tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen,” kata seorang ahli MT Umno yang memberikan pandangan dengan syarat tidak dinamakan.
Beliau juga melihat Muhyiddin sudah hilang sokongan penuh Umno apabila Tengku Razaleigh Hamzah secara terbuka bercakap dengan usul tidak percaya dan membantah langkah untuk pengisytiharan darurat.
Kelmarin Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata Muhyiddin sudah tiada legitimasi untuk jadi perdana menteri apabila tidak mahu berhadapan dengan usul tidak percaya di Dewan Rakyat.
“Kalau satu atau dua lagi ahli Parlimen tak sokong beliau, habislah majoritinya,” kata sumber, kepada The Malaysian Insight.
Pimpinan tertinggi Umno dilihat memasuki perkarangan ibu pejabat parti di Menara Dato Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) seawal pukul 8 malam tadi.
Antara yang kelihatan termasuklah Naib Presiden Umno Khaled Nordin dan beberapa anggota MT yang lain seperti Tajuddin Abdul Rahman, Abdul Rahman Dahlan, Mohd Puad Zarkashi, dan Shamsul Anuar Nasarah.
MT Umno dianggotai 57 ahli, termasuk 11 pimpinan kanan, 25 ahli yang terpilih dan selebihnya ahli lantikan dan pengerusi parti negeri. – 26 Oktober, 2020.
Komen