PENGISYTIHARAN darurat sekarang hanya akan memburukkan lagi ekonomi Malaysia yang sudah terpuruk, kata Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Pengerusi Jemaah Penasihat Umno berkata beliau bukan mempersoalkan hak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk memohon pengisytiharan itu daripada Yang di-Pertuan Agong.
Namun katanya beliau tidak nampak ada “alasan yang jujur” untuk langkah itu.
“Sekiranya perdana menteri berjaya melaksanakan perintah darurat yang dicadangkan sebagai seorang ahli ekonomi dan bekas menteri kewangan, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri (dan bekas pengerusi Bank Dunia dan IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa), saya boleh tegaskan ia boleh memburukkan lagi keadaan ekonomi kita yang sudah teruk.
“Pelabur tempatan dan luar akan menghindarkan kita sepenuhnya. Keyakinan bisnes akan musnah,” katanya dalam satu kenyataan.
Istana Negara hari ini mengesahkan Muhyiddin semalam diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdul Aziz di Kuantan, Pahang, dalam pertemuan yang berlangsung lebih kurang satu jam setengah.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin berkata pada sesi menghadap itu Muhyiddin mempersembahkan cadangan daripada mesyuarat khas Jemaah Menteri di Putrajaya semalam.
Beliau tidak memperincikan cadangan tersebut sebaliknya berkata Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan berunding dengan Raja-Raja Melayu mengenai cadangan tersebut, yang memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk dilaksanakan.
Media yang memetik pelbagai sumber semalam melaporkan kerajaan Muhyiddin bercadang menggunakan kuasa-kuasa di bawah perintah darurat untuk menangani pandemik Covid-19 di tengah-tengah kedudukan sokongan ke atasnya yang tipis di Dewan Rakyat.
Langkah mencadangkan pengisytiharan darurat dibuat ketika Muhyiddin berhadapan ketidaktentuan politik selepas Umno pada 13 Oktober mengancam menarik balik sokongan terhadap kerajaannya yang mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat.
Umno membuat ancaman itu beberapa jam selepas Ketua Pembangkang dan Presiden PKR Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan beliau ada sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Tengku Razaleigh juga menghadap Yang di-Pertuan Agong pada hari yang sama, selepas sesi menghadap Anwar di Istana Negara.
Seminggu selepas itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun mengumumkan Umno akan terus menyokong kerajaan Muhyiddin.
Pejabat Tengku Razaleigh minggu lalu juga mendedahkan surat-menyurat ahli parlimen veteran 11 penggal itu dengan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun meminta usul tidak percaya terhadap perdana menteri diberi keutamaan pada sidang akan datang.
Dalam kenyataan hari ini, Tengku Razaleigh juga menjelaskan beliau ada alasan untuk percaya bahawa perdana menteri dan jemaah menterinya sudah tidak lagi mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.
“(Surat menyurat dengan speaker) tidak harus dilihat sebagai untuk kepentingan diri saya atau saya ada minat untuk jawatan perdana menteri, tetapi untuk mempertahankan prinsip sistem parlimen kita,” katanya.
Minggu lalu juga, sekurang-kurangnya 16 ahli Parlimen pembangkang dilapor mengemukakan notis usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin. Antaranya termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang pertama kali mengemukakan usul berkenaan pada Mei lalu.
Perkembangan politik ini melatari sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 2 November ini, dengan agenda utama pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November. – 24 Oktober, 2020.
Komen