Agong faham denyut nadi resah rakyat, kata Anwar Ibrahim


Anwar berkata keputusan Agong tidak memperkenankan permohonan kerajaan Muhyiddin Yassin untuk pengisytiharan darurat bagi memerangi wabak itu akan memperkukuh sistem Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2020.

YANG di-Pertuan Agong memahami suara rakyat yang menolak jalan darurat untuk menangani penularan pandemik Covid-19, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Presiden PKR berkata keputusan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak memperkenankan permohonan kerajaan Muhyiddin Yassin untuk pengisytiharan darurat bagi memerangi wabak itu akan memperkukuh sistem Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen.

“Ia ternyata suatu ketetapan yang berlandaskan semangat Perlembagaan dan memahami denyut nadi keresahan dan suara rakyat seperti yang disuarakan oleh pemimpin-pemimpin politik, masyarakat madani, tokoh-tokoh akademik dan pihak media yang bertanggungjawab yang menginginkan agar sistem demokrasi tidak dinodai,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Anwar juga berkata pihaknya mengambil maklum titah nasihat Al-Sultan Abdullah agar pemimpin politik tidak berlebihan berpolitik.

Beliau mahu pemimpin politik termasuk ahli-ahli Parlimen mencermati dan menghayati nasihat Yang di-Pertuan Agong.

“Tokoh-tokoh politik termasuk ahli-ahli parlimen harus prihatin dan menggalas tanggungjawab sesuai dengan semangat Perlembagaan dan kebertanggungjawaban kepada rakyat, institusi Parlimen dan negara,” katanya.

Dua pemimpin Pakatan Harapan dalam kenyataan masing-masing turut menyambut baik titah Tuanku Agong.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata keputusan itu tepat, yang menunjukkan “suara rakyat biasa telah didengari.”

Presiden Amanah Mohamad Sabu pula memberi jaminan pihaknya akan menyokong segala usaha memerangi Covid-19 dan berjanji akan bersama sepenuhnya dalam usaha ini, seperti dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Selepas pertemuan Raja-Raja Melayu petang tadi, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpendapat tidak perlu baginda mengisytiharkan darurat bagi memerangi pandemik Covid-19.

Seri Paduka Baginda merasakan kerajaan sekarang “telah berjaya menangani wabak dengan baik dan berkesan”, katanya.

“Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan Kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini dari terus merebak,” kata Ahmad Fadil.

Al-Sultan Abdullah juga mahu bertitah mahu ahli politik berhenti segera daripada main politik, seraya menyeru semua pihak agar bersama-sama memainkan peranan masing-masing membantu Malaysia mengharungi masa sukar melawan Covid-19.

Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan pertambahan 823 kes baharu Covid-19, selepas rekod kes tertinggi 1,228 dalam sehari yang dicatatkan semalam.

Malaysia kini mencatatkan keseluruhan 26,565 kes, sejak wabak itu mula dikesan masuk di negara ini pada hujung Januari 2020.

Lebih separuh daripada keseluruhan kes itu dikesan hanya pada bulan ini saja, berbanding lebih kurang 10,000 kes yang dicatat selama tujuh bulan antara Mac hingga September.  – 25 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen