Amanah, DAP sambut baik titah Agong


Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata pihaknya akan menyokong segala usaha memerangi Covid-19 dan berjanji akan bersama sepenuhnya dalam usaha ini, seperti dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2020.

DUA parti dalam Pakatan Harapan menyambut baik keputusan Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan permohonan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk pengisytiharan darurat bagi memerangi pandemik Covid-19.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata keputusan itu tepat dan disambut dengan rasa syukur oleh rakyat.

“Suara rakyat biasa telah didengari,” katanya, dalam satu kenyataan malam ini.

Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan turut mengajak seluruh rakyat untuk mengetepikan perbezaan dan perbalahan sebaliknya bersatu padu dan hati melawan Covid-19.

Sementara itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu berterima kasih atas titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Amanah meyakini bahawa keputusan ini telah dibuat dengan penuh hemah dan kebijaksanaan dengan mengambil kira kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya dan kelangsungan kemakmuran negara,” katanya.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata pihaknya akan menyokong segala usaha memerangi Covid-19 dan berjanji akan bersama sepenuhnya dalam usaha ini, seperti dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan petang tadi memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia atau mana-mana bahagian di negara ini.

Baginda juga bertitah mahu ahli politik berhenti segera daripada main politik, sebaliknya menyeru semua pihak agar bersama-sama memainkan peranan masing-masing membantu Malaysia mengharungi masa sukar ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Yang di-Pertuan Agong mengadakan pertemuan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, petang tadi.

Pertemuan bagi membincangkan permohonan yang dipersembahkan oleh Muhyiddin kepada Al-Sultan Abdullah pada Jumaat lalu, hasil mesyuarat khas Jemaah Menteri di Putrajaya pada hari yang sama sebelumnya.

Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan pertambahan 823 kes baharu Covid-19, selepas rekod kes tertinggi 1,228 dalam sehari yang dicatatkan semalam.

Malaysia kini mencatatkan keseluruhan 26,565 kes, sejak wabak itu mula dikesan masuk di negara ini pada hujung Januari 2020. – Bernama, 25 Oktober, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen